Silat, Kurikulum dan Sikap Pendekar PSGFM

Silat, Kurikulum dan Sikap Pendekar PSGFM

Silat

Silat merupakan salah satu daripada ilmu tradisi Melayu yang dapat bertahan dan diperlukan sepanjang zaman. Silat bukan sahaja mengajar manusia mempertahankan diri, malah silat itu sendiri dapat mempertahankan dirinya daripada pengaruh luar yang nagatif. Walaupun bangsa Melayu dapat dijajah, tetapi silat tidak dapat ditewaskan. Silat terus perkasa peranannya membina jati diri bangsa pewaris silat.

Silat ialah ilmu mempersiapkan diri pada zahir dan batin dengan mendidik bagaimana mempertahankan diri daripada serangan yang bersenjata atau tanpa senjata. Pelakuan pada zahir mencermin kekuatan batin. Bermakna pergerakan ketangkasan dan keindahan silat yang ditampilkan oleh seseorang pendekar yang dapat memperlihatkan minat, rajin, bijaksana, kesungguhan dan kemahuan yang terbit dari jiwa, nyawa, akal, batin atau rohnya. Dengan sebab itu silat dianggap sebagai ilmu zahir dan batin.

Kurikulum

Kurikulum ialah ilmu. Kurikulum Silat ialah ilmu silat bukan nama atau aliran perguruan silat. Kurikulum Silat PSGFM/SSM memperlihatkan titik pembaharuan yang dapat mengekalkan kesalian dan kesepaduan ilmu silat. Bermakna apabila disebut perkataan `silat’ telah lengkap di dalamnya terdapat ilmu, amal dan kemahiran silat yang melahirkan insan disebut `pendekar’ silat.

Sikap adalah hasil daripada ilmu, pengalaman dan pengaruh persekitaran yang diterima oleh seseorang. Misalnya kurikulum agama akan melahirkan insan yang beriman, bertakwa, bugaya dan beramal dengan ilmu dengan zahir batin serta mengajak kepada melakukan perkara-perkara kebaikan serta meninggalkan perkara yang ditegah oleh syarak, undang-undang, peraturan, perlembagaan atau adat selagi tidak bercanggah dengan agama. Kurikulum Sains dan teknologi telah menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi politik, ekonomi dan sebagainya kepada Malaysia.

Sikap Pendekar

Sikap Pendekar PSGFM telah diamalkan oleh orang-orang Melayu, kususnya kepada para pesilat atau pendekar silat sejak menerima pendidikan silat tradisi Gelanggang Bangsal. Hanya pada ketika itu nilai-nilai murni amalan pendekar tidak dicatat secara teratur. Disampaikan secara lisan atau nasihat daripada guru kepada pesilat atau atau orang-orang tua kepada anak anak buahnya.

Nasihat tersebut telah dapat memimpin bangsa Melayu menjadi bangsa terbilang di sepanjang zaman. Maka berikut nilai-nilai murni sikap pendekar yang menjadi panduan hidup yang dapat membina sikap bangsa Melayu disusun secara mudah di fahami. Semoga nilai-nilai murni dan pengajaran yang terdapat di dalam Sikap pendekar dapat dihayati dan diamalkan oleh pendekar PSGFM, umumnya kepada keluarga, masyarakat dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Di dalam Sikap Pendekar 20 perkataan yang menjadi sendi yang wajar dihayati sama ada maksud secara keseluruhan atau makna pada setiap perkataan sendiri. Maksud secara keseluruhan bahawa seseorang pesilat atau pendekar silat mestilah mengamalkan ilmunya dengan menjaga, mengajar, melatih dan mengembangkan silat di dalam atau di luar daripada masyarakatnya.

Adat dan budaya yang terdapat di dalam ilmu silat kususnya PSGFM adalah berteraskan seni budaya bengsa Melayu seperti penggunaan pakaian, alat musik baku silat, senjata, adat belajar dan bertamat yang sejajar dengan syarak iaitu agama Islam.

Maka persilat yang bukan Islam harus dapat menghormati nilai-nilai tersebut yang juga tidak bertentangan dengan agama lain yang mengharapkan seluruh manusia menjadi baik. Pendekar mestilah menjaga kemanan dan ketenteraman masyarakat, oleh itu silat tidak boleh digunkan secara sewenang-wenangnya.

Pendekar sebagai seorang yang berilmu mestilah memiliki sifat-sifat mulia seperti sabar, pengasih, tenang, bijaksana, yakin gigih, jujur dan sebagainya. Elakkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada zahir dan batin. Dengan kebijaksanaan atau `fatani’ dapat membezakan yang benar dan yang salah. Apa yang penting ialah dapat mengecapi kehidupan yang sejahtera, rukun dan damai sama ada dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Nilai-nilai yang tertera dalam Sikap Pendekar memperlihatkan cara hidup kepahlawan atau khalifah Allah yang luhur atau yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Berikut ialah makna secara ringkas kepada 20 perkataan sendi yang terdapat di dalam Sikap Pendekar adal seperti berikut.

1. Insan – Ialah sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah dan dengan kebijaksanaan akalnya, manusia berupaya beriman dan hidup sejahtera bersih dari noda.

2. Berilmu – Memiliki pengetahuan, berakal, berkepandaian, berkepakaran dan berkebolehan. Ilmu adalah hasil minat dan usaha dari belajar, pengalaman dan mengkaji.

3. Beramal – Melakukan sesuatu pekerjaan atau kebajikan yang mendatangkan faedah. Sebaik-baik amlan adalah dari hati yang suci dan ikhlas kerana amal itu buah dari ilmu. Sekiranya hati itu diumpamakan buah yang berulat, maka bauh tersebut tidak lagi berharga. Oleh itu bersihkan hati sebelum beramal supaya amal tidak mendatngkan bahaya kepada diri, masyarakat dan negara.

4. Berkemahiran – Cekap, pakar, terlatih atau ahli dalam sesuatu bidang pekerjaan dan dapat menjalankan tugas dengan teraur, lancar dan sempurna.

5. Persilatan – Ilmu seni beladiri atau seni mempertahankan diri bangsa Melayu. Di dalamnya terdapat kaedah dan muslihat penggunaan senjata atau tulang empat kerat menghadapi lawan. Ilmu seni silat Melayu tradisi Semenanjung telah dimajukan oleh PSGFM sebagai satu ilmu dari aspek teori, praktik, petua, pekej beladiri, senam, muzik silat, semoinar, foram, bengkel, pertandingan dan sebagainya.

6. Zahir – Semua perkara luaran atau fizikal yang dapat ditanggap oleh pancaindera dan akal secara logik. Silat zahir bermakna segala yang dapat dilakukan dengan menggunakan anggota.

7. Batin – Ilmu yang berhubungan dengan alam ghaib, tersembunyi, rohani dan alam hati. Silat membina ilmu kerohanian atau amalan kebatinan berlandaskan ilmu tasawuf yang hakikat dan makrifat kepada Allah.

8. Adat – Hukum, lembaga, resam, kebiasaan atau peraturan yang dilaksanakan sejak turun temurun dulu kala. Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah dan sunah Rasulullah.

9. Seni – Hasil karya yang indah. Keindahan sebi silat pada ketepatan kaedah dalam beladiri berseni pada rupa dan bentuk serta irama.

10. Budaya – Cara hidup yang lazimnya diamalkan oleh masyarakat hingga membentuk tamadun atau beradaban berasaskan kemajuan budi dan daya usaha mewujudkan kekuatan masyarakat. Amalan budaya menambahkan keindahan dan keharmonian peraturan atau rukun hidup. Bukan semua paraturan dan undang-undang itu dapat ditulis dengan teliti dan lengkap. Maka budaya Melayu misalnya dapat mengisi mana-mana yang tertinggal kerana kehalusan budi pekerti dan hati dapat memilih mana yang sesuai mengikut budi bicara yang baik dan murni.

11. Melayu – Bangsa yang menduduki Nusantara yang berkulit sawo matang gagah berani. Memiliki pengetahuan dan pengalaman bernegara, berpolitik, social, ekonomi, agama, kesenian, bahasa, budaya, silat, perlembagaan dan sebagainya. Bersikap sederhana, waras, periang, sopan-santun beriman, rajin dan mempunyai kuat daya saing sepanjang sejarah tamadun manusia.

12. Syarak – Hukum Islam iaitu berlandaskan hukum syarak, hukum akal dan dan hukum adat. Hukum syarak untuk beribadat melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah Allah berpandukan al-Quran dan sunnah. Hukum akal untuk beriktiqad. Hukum adat untuk berikhtiar.

13. Betul – Benar dan menepati keperluan yang tidak bercanggah dengan adat peraturan, syarak, peraturan, undang-undang dan perlembagaan negara.

14. Keamanan – Kesejahteraan, keselamatan, kepuasan, keharmonian dan kedamaian yang boleh membina perpaduan dan integrasi masyarakat ynag dapat mengecapi kehidupan dengan selesa dan selamat tanpa gangguan.

15. Kebenaran – Melakukan sesuatu pekerjaan atau tindakan yang sejajar dengan peraturan dan undang-undang secara jujur, adil, setia, telus atau seumpamanya. Tidak bercanggah dengan perjuangan perguruan, agama, bangsa dan negara.

16. Tenang – Sabar, selesa, hening, puas atau tidak mudah terpengaruh dengan acuman, kekalutan atau seumpamanya. Dengan demikian, ada kesempatan menumpukan fikiran kepada sesuatu pekerjaan atau mengingati Allah.

17. Keterampilan – Kemas, segak, sajak, tangkas, tampan dan sentiasa bersikap waspada serta dapat bertindak dengan cepat dan sempurna.

18. Semangat – Roh atau jiwa yang memberikan tenaga kepada perasaan, kemahuan atau cita-cita untuk terus berusaha, hidup atau sebaliknya. Silat membina semangat juang, berani, gigih, yakin, rajin, tahan, kuat dan seumpamanya untuk mencapai kejayaan.

19. Kesatriaan – Pahlawan, hulubalang, panglima, pendekar atau pejuang dalam apa bentuk sekalipun demi kedaulatan negara, agama dan bangsa. Pendekar memegang amanah dan penyambung waroisan menjaga nama baik silat dengan,

a. Merahsiakan ilmu daripada mereka yang tidak bertanggung jawab.
b. Menjaga ilmu dengan mengamal dan mengajarkan dengan yakin.
c. Menggunakan ilmu di tempat yang betul.

20. Luhur – Berbudi pekerti, sopan santun, beradat, berbahasa atau tingkah laku dengan akhlak yang murni seperti bertakwa, beriman, ikhlas, pengasih, hormat, setia, jujur, bijaksana dan seumpamanya dengan pandangan bahawa sekelian makhluk ciptaan Allah yang wajib dihormati dan berhak untuk hidup selagi mereka tidak menyimpang daripada tuntutan Allah dan RasulNya.

(diterbitkan dengan izin Guru Aminuddin Anuar daripada Buku Panduan PSGFM oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, 2008 ).

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com