Nilai-nilai murni Silat PSGFM

Seni Gayung Fatani

Perkhidmatan Pendidikan Silat PSGFM ialah untuk melahirkan insan mahir dalam ilmu persilatan yang disebut sebagai pendekar yang memiliki sahsiah diri yang baik dan dapat menjalani hidup dengan sejahtera di dunia dan di akhirat. Silat memperkenalkan diri sendiri sebagai hamba Allah yang diamanahkan menjadi pemimpin kepada alam, maka pertolongan Allah dan keredaanNya menjadi kekuatan zahir dan batin.

Nilai-nilai murni adalah bermula daripada segala pekerjaan, pelakukan, amalan atau ibadat dari hati yang suci kerana Allah. Nilai-nilai murni adalah hasil pengaruh, pendidikan, ilmu, latihan, kepercayaan, pengalaman dan amalan yang dilakukan dalam masa yang panjang. Maka pendidikan silat menekan keseluruah perkara tersebut secara langsung atau tidak langsung dalam membina pendekar.

Nilai-nilai murni dalam silat berlaku di dalam seluruh gerak kerja sama ada dalam latihan sendirian atau persembahan. Misalnya dalam melakukan gerak Bunga Silat yang diiringkan oleh muzik silat baku akan menghasikan karya seni gerak silat yang indah atau estatik, maka pesilat akan tergerak dalam hatinya tentang keupayaannya atau kehebatanya. Maknanya dalam persembahan Bunga Silat tersebut telah berlaku dua nilai yang berbeza iaitu pada luaran persembahan yang bernilai indah dan pada dalaman bernilai riak. Maknanya pesilat telah menang pada luaran tetapi gagal pada dalaman. Dari titik tolak contoh tersebut, pendekar amat berhati-hati supaya dapat mencapai kemenangan pada luaran dan dalaman atau zahir batin. Pendekar memulakan langkah menghilangkan riak dengan menilik pada mata hatinya bahawa pergerakannya pada zahir dan batin itu adalah anugerah dan serta Allah jua.

Nilai-nilai murni berlaku dalam setiap gerak kerja latihan silat atau permainan silat. Misalnya dalam latihan buah pukul atau tempur silat dilakukan secara berpsangan. Kedua pesilat tersebut akan dapat melakukan latihan atau permainan silat secara berpasangan dengan baik sekiranya mereka mengamakan nilai-nilai kerjasama, jujur, pengasih, bertanggung jawab, berani, yakin dan sebagainya. Kedua pesilat akan diberi peluang melakukan serang dan sambut. Kepada pesilat yang melakukan serangan mestilah lakukan dengan jujur, yakin dan betul. Manakala pesilat yang melakukan sambut mestilah berani, yakin dan jujur mengikut arahan yang diberikan. Maknanya kedua pesilat mestilah sentiasa menjaga keselamatan pasangannya. Disinilah wijudnya nilai kerjasama, pengasih dan kerjasama. Nilai-nilai tersebut akan membantu kedua pesilat berjaya menguasai ilmu persilatan.

Nilai murni dalam pertandingan adalah berbeza dalam latihan, persembahan atau permainan. Pesilat harus bersedia menerima segala kemungkinan sebelum terjun ke gelanggang pertandingan. Nilai-nilai yang harus ditekankan seperti yakin, berani, waspada, berhati-hati, kesungguhan serta semangat kesukanan yang tinggi. Gelanggang pertandingan bukan tempat melepaskan nilai-nilai negatif seperti dendam, benci atau riak yang menjatuhkan taraf kemanusiaan seseorang atlet. Pertandingan juga merupakan satu persembahan yang amat diharapkan oleh penonton. Kesempatan tersebut memberi peluang menilai atau memilih peserta yang terbaik untuk dinobatkan sebagai juara. Maka atlet akan menggunakan segala kemahiran secar terbaik mengikut peraturan yang ditetapkan untuk menang dengan hadiah dan dihormati penonton.

Nilai murni dalam pertarungan mempertahankan kehormatan diri atau keluarga memerlukan keyakinan, keberanian, berhati-hati dan sabar kerana pertarungan akan membawa kecederaan. Pendekar amat berhati-hati supaya serangan lawan dari segala sudut akan berlaku yang tanpa diduga. Silat mempertahankan diri tanpa mencederakan lawan, kecuali terdesak. Konsep tersebut akan membantu pendekar mengawal diri dengan bertenang, sabar, waspada, mengawal tenaga, penumpuan dan sebagainya. Utamakan keselamatan diri kerana satu kesilapan akan mengakhiri segala.

Nilai murni dalam peperangan mempertahankan negara merupakan sesuatu yang amat bererti kepada setiap diri dan bangsa. Setiap pendekar atau rakyat mestilah mengamalkan nilai patuh, setia, patriotik, bijaksana, amanah, berani, hormat dan sebagainya. Peperangan adalan urusan negara dan tanggung jawab seluruh rakyatnya.

Silat merupakan warisan institusi pendidikan tradisi Melayu dapat meneruskan usaha membina pendekar silat yang memiliki nilai-nilai jati diri dan semangat juang serta memiliki ilmu dan kemahiran yang dapat membantu diri, bangsa dan negara. Iaitu generasi yang dapat menghadapi arus cabaran dan dapat meletakkan bangsa Malaysia sebaai bangsa yang terbilang.

(diterbitkan dengan izin Guru Aminuddin Anuar daripada Buku Panduan PSGFM oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, 2008 ).


About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com