11 – 13 April 2014, Universiti Malaya Kuala Lumpur – Program Kejohanan Silat Tempur Piala Jemputan peringkat Kebangsaan telah berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara ahli majlis tertinggi, wasit/juri dan bersama beberapa orang urusetia yang turut serta sepanjang program tersebut dijalankan. Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada Kelab Silat Olahraga Bandar Baru Bangi & Kelab Silat Universiti Malaya [penasihatnya iaitu Dr. Mohamad Nizam Bin Mohamed Shapie].
Gerak kerja telah dibuat selama dua bulan sebelum tarikh program sebenar dijalankan.Pelbagai urusan pentadbiran telah dilaksanakan antara pengarah dengan pihak kelab dan Kolej Kediaman Ungku Aziz untuk melancarkan lagi program ini.
Sebelum pertandingan, beberapa siri mesyuarat telah dilakukan di mana setiap biro memberikan laporan mengenai perkara-perkara berbangkit yang sudah dan perlu diselesaikan seperti pencarian tajaan dan peserta. Majlis Tertinggi (MT) sentiasa berbincang bersama Penyelia Penasihat dan AJK KSOB mengenai apa jua perancangan yang perlu dilakukan dan meminta pandangan bagi sesuatu perubahan dalam gerak kerja program ini. Pertemuan telah diadakan sebanyak lima kali dalm tempoh gerak kerja.
Pada minggu terakhir pula, selama tiga hari telah diadakan gerak kerja terakhir untuk memastikan kelancaran program dan persiapan rapi dilakukan hingga ke lewat malam bagi memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar.
Para peserta yang tiba pada 11 April 2014 ditempatkan di asrama penginapan Kolej Ungku Aziz, Universiti Malaya sehingga hari akhir pertandingan iaitu pada 13 April 2014. Pada hari Sabtu, 12 April 2014 seawal jam 7.00 pagi, para peserta hadir dan membuat pendaftaran dan penimbangan berat.
Penyertaan dari beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan amat menggalakkan. Terdapat lebih 60 orang peserta putera dan putri. Tepat pada pukul 10.00 pagi, pertandingan dimulakan dengan kategori peserta yang pertama Putera menengah kelas A dan diikuti oleh katogori-kategori lain.
Majlis berhenti rehat seketika pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang bagi memberi laluan untuk makan tengahari dan solat zohor. Program ini diteruskan lagi bagi beberapa pusingan yang masih tinggal sehingga jam 4 petang. Pusingan akhir bermula pada pukul 5.00 petang dan berakhir pada pukul 6.00 petang.
Majlis penutup telah dimulakan pada sekitar pukul petang 6.00 dengan kehadiran tetamu jemputan dan VIP iaitu Pengetua Kolej Kediaman Ungku Aziz, Dr Nadhratul Wardah Binti Haji Salman, Penasihat Kelab Silat Universiti Malaya, Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie (merangkap Pakar Silat Kelab Silat Olahraga Bandar Baru Bangi), Guru Utama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia, Tuan Guru Aminuddin bin Haji Anuar, Pengarah program Kejohanan Silat Tempur Piala Jemputan Peringkat Kebangsaan, Saudari Nur Azizah Abdul Aziz dan para peserta termasuk ibu bapa pesilat.
Majlis dimulakan dengan ucapan pengarah progam, Saudari Nur Azizah Abdul Aziz dan Penasihat Kelab Silat Universiti Malaya, Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie dan seterusnya menutup program ini. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sijil, medal dan anugerah pesilat harapan dan pesilat terbaik serta cenderahati kepada para VIP. Penyampaian hadiah telah dilaksanakan oleh Dr Nadhratul Wardah bagi kategori wanita dan Tuan Guru Aminuddin bagi kategori lelaki. Majlis ditutupi dengan sesi fotografi bersama para pesilat.
Berkat usaha sama semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam penganjuran, program ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. Semoga program ini dapat memberikan 1001 manfaat kepada para pesilat mahupun pihak penganjur. Tidak lupa juga ucapan tahniah buat semua urusetia, wasit/juri dan pelaksana yang telah bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab yang diberi bagi melancarkan lagi program ini.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Penasihat Kelab Silat Universiti Malaya/KSOB, Dr. Mohamad Nizam Bin Mohamed Shapie, Pengetua Kolej Kediaman Ungku Aziz, Dr. Nadhratul Wardah Binti Haji Salman, semua penyelia kolej serta pihak pentadbiran kolej yang banyak membantu dan meluangkan masa bersama dari awal perancangan hinggalah tamat program ini diadakan serta mana-mana individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakannya.
Diharapkan program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.