Pendidikan Silat PSGFM


Falsafah Silat PSGFM

Silat itu Sihat. Silat mengarah kepada cara hidup sihat, iaitu sihat pada zahir dan batin kerana silat merupakan pelajaran atau kegiatan yang menggunakan kemahiran pergerakan secara zahir dan batin yang menyentuh jasmnai, rohani, intelek dan emosi. Silat mengajar pengamalnya mempertahankan diri tanpa mencederakan lawan, kecuali terdesak. Dengan sebab itu silat mengembangkan kaedah sambut bukan balas. Kaedah sambut dimulakan dengan elak, tangkis, tangkap atau kunci dilakukan agar lawan tidak cedera. Kecuali terdesak, bermakna serang balas dilaku secara lansung atau didahului dengan sambut bagi tujuan segera menghentikan pergaduhan. Oleh sebab itu, silat merupakan seni mempertahankan diri yang sihat.

Pada zahir atau luaran, silat mendidikan fizikal atau jasmani yang sihat agar dapat menguasai ilmu seni mempertahankan diri yang berdasarkan ilmu perang Melayu. Pada batin atau dalaman, silat mendidik rohani, hati atau jiwa yang sihat. Jiwa yang sihat akan menghasilkan pemikiran sihat yang menghasilkan sifat seperti dan hati yang tenang, sabar, takwa, zuhud, iman, berani, yakin, rajin, gigih, usaha, kreatif, inovatif dan sebagainya. Silat membina pendekar yang sihat pada zahir dan batin agar dapat menikmati hidup yang sejahtera.

Sihat merupakan aset kepada seseorang pendekar silat. Tanpa sihat seseorang tidak akan dapat melakukan gerakan silat dengan baik dan berkesan. Maka pendekar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan menjauhi tabiat yang tidak baik. Alaman sihat seperti mengamalkan senam, bersilat dengan mengajar silat, pemakanan yang seimbang, melibatkan diri dan menyumbang kepada kerja kebajikan. Menjauhi tabiat yang tidak baik di antaranya seperti tabiat merokok, arak, dadah, judi, mencuri, rasiah, menipu dan segala amalan yang boleh mendatangkan kerugian dan kecxelakaan kepada diri.

Konsep Silat PSGFM

Silat untuk Semua. Silat dapat diamalkan oleh semua peringkat umur, jantina tanpa mengira budaya, kaum, bangsa, pendidikan, bahasa, fahaman dan kepercayaan. Silat merupakan satu ilmu sebagai mana ilmu-ilmu lain di pusat pengajian tinggi. Silat memberi kebaikan kepada semua pihak kerana silat ilmu menyelamatkan diri. Sekiranya pertarungan berlaku kepada dua orang pandai bersilat, maka ada masa bagi keduanya untuk berfikir sama ada memaafkan atau sebaliknya.

Pandangan Hidup PSGFM

Silat mengajar manusia mencapai mengenal dirinya serta tanggung jawab kepada keselamatan diri, saudara, masyarakat, alam sekitar dan negara. Memanfaatkan ilmu untuk berusaha meningkatkan marwah diri dengan belajar, menguasai dan mengendalikan diri untuk mencapai segala cita-cita dan kejayaan dunia dan akhirat. Setiap orang berhak memilih pandangan hidup. Bagaimana pun perguruan harus memberikan panduan untuk pesilat membentuk cara atau pandangan hidup yang lebih sesuai bagi diri masing-masing.

Cara hidup

Mengajar manusia mencapai tujuan hidup yang lebih bermakna dengan melakukan kebajikan dan menjauhkan dari segala yang tecela yang boleh membinasakan diri pada zahir dan batin. Dapat menghayati keagungan Tuhan yang esa yang mengangkat manusia sebaik-baik ciptaan di ala mini dan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Manusia harus mengerti makna kehidupan yang sementara. Oleh itu pilihlah cara hidup yang bersih, suci dan sejahtera.

(diterbitkan dengan izin Guru Aminuddin Anuar daripada Buku Panduan PSGFM oleh Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab, 2008 ).

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com