Assalamualaikum & Salam Persilatan,
Kejohanan Silat Tempur Peringkat Kebangsaan 2015 – Piala Aminuddin Anuar telah berlangsung dengan jayanya pada 9 & 10 Mei 2015 bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Kejohanan yang menarik ramai pesilat di peringkat rendah dan menengah ini berlangsung dengan sengitnya seawal jam 9 pagi. Rata-rata pesilat yang bertanding adalah muka-muka baru dan lama yang telah bertanding sejak siri pertama pertandingan ini di Universiti Malaya pada April 2014.
Kejohanan ini adalah anjuran PSGFM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kelab Silat Olahraga Bandar Baru Bangi (KSOB). Dewan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dibanjiri oleh para pesilat sejak jam 7 pagi lagi yang tidak sabar menunggu pertandingan ini berlangsung.
Kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Shah Alam ini telah bertukar ke Bandar Baru Bangi disebabkan permintaan khas pihak-pihak yang bertanding dalam memastikan kejohanan ini meriah seperti 3 siri sebelumnya.
Piala Aminuddin Anuar ini disampaikan oleh Tuan Guru Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie kepada pasukan Kelab Silat Olahraga Fatani Bersatu yang merangkul Juara Keseluruhan dengan membawa pulang Piala Pusingan Aminuddin Anuar berserta hadiah wang tunai.
Pesilat terbaik lelaki dimenangi oleh Jebat dari Kelab Silat Olahraga Fatani Bersatu manakala pesilat terbaik perempuan dimenangi oleh Puteri Elissa Sarah Mohamad Nizam dari Kelab Silat Kombat Kuala Lumpur.
Dalam ucapan penutup, Dr. Mohamad Nizam yang juga pencipta bersama sukan tempur ini menegaskan bahawa kejohanan akan datang bakal berlangsung di pasaraya besar dalam mempromosikan lagi penglibatan para pelajar dalam sukan ini. Di antara lokasi yang telah dikenal pasti adalah Bangi Avenue, Metro Kajang dan Alamanda Putrajaya pada bulan September 2015.
Syabas kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memertabatkan silat di Malaysia.
Tahniah!
‘Silat Untuk Semua’
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.