Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bersyukur ke hadrat Allah di atas segala rahmat yang dikurniakan-Nya kepada kita.
Guru Utama, Tuan Guru Aminuddin Anuar telah mengucapkan tahniah ke atas Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) di atas kerjasama yang dilakukan dengan sektor swasta. Kejayaan ini disusuli dengan pembukaan Akademi Silat dan Pejabat Urusan di Shah Alam. Lebih menarik, Akademi Silat ini adalah yang pertama berkonsepkan Sains Sukan di Malaysia.
Pakar Silat Malaysia, Tuan Guru Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie berjaya mendapatkan persetujuan kerjasama dua hala di antara pihak swasta dalam membuat kajian-kajian Silat khasnya dalam bidang Sains Sukan. Di antara ruang bidang yang bakal dimanfaatkan adalah:
- Analisis Prestasi (Performance Analysis)
- Psikologi Sukan
- Fisiologi Sukan
- Kejurulatihan Sukan (Sports Coaching)
- Latihan dan Kecergasan dalam Sukan
- Biomekanik
- Kecederaan Sukan
Kejayaan pembukaan Akademi Silat ini adalah hasil kerjasama yang mantap di antara AJK PSGFM, jurulatih, pesilat dan penyokong PSGFM yang sentiasa mengikiraf peranan yang dimainkan oleh TG Aminuddin Anuar dalam menyambung tugas Allahyarham TG Anuar Abdul Wahab demi memertabatkan Silat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Lebih manis lagi apabila pembukaan Akademi Silat dan Pejabat Urusan yang menelan belanja hampir RM 150,000 ini bakal menempatkan para pelajar Sains Sukan dari universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk menjalani latihan industri. Kemudahan yang disediakan ini bakal memberikan keselesaan dan ketenangan kepada para pesilat dan pengunjung ke Akademi Silat ini.
Selain itu, kejayaan PSGFM menjadi SILAT TERBAIK DI ASIA 2015 di Anugerah Industri Sukan Asia 2015(Makati, Manila Filipina) telah membuka ruang yang luas dalam menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak yang berminat dalam membangunkan Silat ke peringkat antarabangsa.
Pihak PSGFM berasa amat berbesar hati di atas sumbangan keilmuan yang diberikan oleh TG Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie dalam menghasilkan banyak makalah-makalah silat di peringkat antarabangsa dalam usaha menambah ruang lingkup ilmu yang ditinggalkan oleh TG Anuar Abdul Wahab yang kembali ke Rahmatullah pada 2009. Bak ‘Patah Tumbuh Hilang Berganti’ kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh PSGFM semenjak tahun 2013 membuktikan bahawa Silat Malaysia mampu bersaing dengan seni beladiri lain di peringkat antarabangsa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.