Sokongan Penuh Terhadap PSGFM

full_support_psgfm

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Terdahulu diucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1434 Hijriah, Maaf Zahir & Batin daripada kami pihak pengurusan tertinggi PSGFM. Sekalung terima kasih kepada semua ahli, jurulatih, guru, ibu bapa dan peminat PSGFM yang telah menyahut seruan pihak PSGFM untuk mendaftar semula keahlian seperti Notis pekeliling yang telah dikeluarkan pada 13 April 2013, 21 April 2013 & 6 Mei 2013. Diharapkan komitmen anda akan mengukuhkan lagi kedudukan PSGFM selaku aliran persilatan yang memperjuangkan Silat Melayu Asli Malaysia.

Di samping itu pihak PSGFM telah pun mengeluarkan Notis Pekeliling Rasmi mengenai kegiatan kejurulatihan PSGFM di seluruh Malaysia & Antarabangsa seperti mana yang telah dikeluarkan pada 1 Jun 2013. Tujuan notis ini dikeluarkan adalah untuk memantau gelanggang-gelanggang dan jurulatih-jurulatih yang berdaftar dengan PSGFM. Pihak PSGFM tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang kejadian yang tidak diingini sama ada di peringkat sekolah, universiti, kolej, kelab-kelab silat mahupun kawasan perumahan yang mengaitkan PSGFM terutamanya kepada gelanggang-gelanggang yang TIDAK BERDAFTAR dengan pihak pengurusan PSGFM. Diharapkan para pesilat, penjaga & ibu bapa mengambil perhatian mengenai perkara tersebut di atas.

reportpolis_psgfm

Selain itu, pihak berkuasa tertinggi  telah mengambil perhatian mengenai beberapa isu pentadbiran PSGFM (beberapa siri pertemuan empat mata telah dilakukan semasa bulan Ramadan) dan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pengurusan Tertinggi PSGFM terkini untuk menjalankan pentadbiran silat dengan telus dan ikhlas. Walau bagaimanapun pihak PSGFM sedia maklum mengenai beberapa kumpulan ahli lama yang tidak berdaftar dan menggunakan logo PSGFM tanpa kebenaran pengurusan. Jesteru itu, satu laporan polis telah dilakukan untuk memastikan bahawa perkara ini tidak berlanjutan dan pihak PSGFM berterima kasih kepada pihak berkuasa di atas sokongan yang diberikan.

Bagi memastikan tiada campur tangan pihak luar di atas pentadbiran PSGFM, pihak pengurusan telah pun berhubung terus dengan pihak Kementerian Dalam Negeri mengenai isu-isu berkait PSGFM. Sokongan pihak KDN (ROS) terhadap pengurusan PSGFM untuk terus menjalankan kerja tanpa ragu-ragu amatlah dihargai. Diharapkan semua pihak yang masih berjuang untuk mengembangkan Silat (PSGFM) mengambil perhatian di atas isu-isu berbangkit dan terus menyokong kepimpinan Tuan Guru Aminuddin Hj. Anuar selaku Pengerusi PSGFM & Guru Utama Perguruan Seni Gayung Fatani Malaysia.

reportkdn_psgfm

Selaku sebuah pertubuhan yang mempunyai pengalaman luas dalam mengembang Silat dalam dan luar negara pihak PSGFM amat menghargai usaha semua pihak yang ingin bersama pihak PSGFM dalam menjalankan usaha TRANSFORMASI dalam pertubuhan SILAT seperti mana yang disarankan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak yang mengamalkan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sebarang permasalahan dan pendapat boleh dibincangkan untuk kebaikan semua.

Sekian.

FATANI NUSA BAKTI.

About PEMEGANG AMANAH PSGFM

Pemegang Amanah PSGFM is a trustee entrusted by the Allahyarham Tuan Haji Anuar Abdul Wahab AMN to develop silat all around the world. You can check out more about this at http://www.kurikulumsilat.com