PSGFM
Pada 14 September 1976 satu daripada kumpulan Silat Melayu, yakni silat tempatan atau aliran seni silat Melayu tradisi Semananjung Tanah Melayu telah didaftarkan dengan nama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).
Pertubuhan ini telah dapat meletakkan Silat Melayu setanding dengan pencak silat, seni beladiri dan seni mempertahankan diri di peringkat negara dan antarabangsa.
PSGFM sentiasa bekerjasama dengan semua perguruan silat,khususnya dari yang serumpun dan sebenih dengannya bersama membangunkan Silat Melayu yang selama ini dikenali sebagai silat pulut atau gayung pulut.
PSGFM terus berusaha mengekalkan keaslian Silat Melayu.
Pada tahun 1978 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu berusaha untuk mewujudkan satu badan atau gabungan peringkat negara yang boleh membangunkan silat secara lebih kerkesan, maka wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia (1983).
Kemudiannya ditukar kepada nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka Malaysia). dan lulus pendaftaranya pada 1986.
Pesaka Malaysia telah dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri Pesaka Malaysia iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia. Lain-lain perguruan silat yang berada di peringkat negeri-negeri menjadi anggota Pesaka Negeri yang diwujudkan di setiap negeri di Malaysia.
PERSILAT
Pada tahun 1979 satu sidang diadakan di Jakarta, indonesia membentuk Federasi Pencak Silat Internasional yang kemudiannya dikenali dengan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat). Cadangan tersebut telah diajukan oleh Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) kerana melihatkan aliran pencak silat telah berkembang di Nusantara dan beberapa negara dunia. Maka Persilat bersetuju mengiktiraf Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura sebagai negara pendiri Persilat. Bagi merapatkan hunbungan antara pengamal pencak silat, maka diwujudkan olahraga pencak silat yang dikenali sebagai `pertandingan pencak silat’ (Maryon R.S.1972).
Persilat telah dapat mengembangkan pencak silat di beberapa buah negara dunia dengan melaksanakan berbagai aktiviti antaranya pertandingan pencak silat yang terdiri daripada kategori silat seni dan tanding diperingkat Kejuaraan Pencak Silat Sedunia, Sukan Sea, Kejuaraan Pencak Silat Eropah dan sebagainya.
Pertandingan pencak silat dapat mengukuhkan dan mengembangkan pencak silat di peringkat antarabangsa. Kerjasama yang padu daripada pengamal pencak silat di negara-negara pendiri, menjadikan masyarakat dunia lebih mengenali pencak silat.
Bagi mengatasi beberapa masaah yang timbul dalam pertandingan pencak silat terutama kepada pengamal atau atlit pencak silat di negara bukan asal pencak silat yang baru sahaja mengenal pencak silat telah menghadapi masalah mengusai dan bersaing dengan peserta daripada negara pendiri pencak silat. Masalah menjadi lebih rumit berpunca daripada semua aliran perguruan pencak silat mengamalkan kaedah pengajaran pencak silat mengikut cara masing-masing yang tidak seragam, rencam dan berbeza-beza. Manakala di pihak peraturan pertandingan pencak silat mempunyai satu kaedah penilaian yang tertentu.
Tindakan Persilat ialah membakukan dan menyusun gerakan yang seragam dalam Kategori Tunggal dan Jurus Wajib yang boleh membantu dan memudahkan atlit pencak silat dari bukan negara asal pencak silat mengambil bahagian dalam pertandingan pencak silat. Demikian juga dengan kategori Tanding dimudahkan peraturannya seperti menggugurkan nilai kuncian dan kerapian seni pencak silat agar membolehkan sukan pencak silat ini diikuti oleh atlit pencak silat dari negara bukan asal pencak silat. Hasilnya amat baik, atlit pencak silat dari negara-negara bukan pencak silat telah memperlihatkan kemajuan dan berjaya dan menguasai pertandingan pencak silat.
Penyeragaman gerak dalam persembahan silat seni dan memudahkan unsur-unsur teknik dan tektik yang boleh ditampilkan dalam tanding memudahkan penataran dan pelaksanaan wasit juri, teknikal, penilaian dan penetapan mutu pencak silat.
Melalui Persilat dan anggotanya, usaha pengukuhan semua aspek pencak silat telah dilakukan dengan baik seperti menyeragamkan gerak, kaedah dan rupa pencak silat, kepakaran, ketentuan nilai serta penggunaan istilah, rujukan ilmu dan maklumat adalah berdasarkan pencak silat yang berpusat di Indonesia.
Seluruh pengamal dan anggota Pencak Silat terus berusaha dan dengan bantuan kerajaan di negara-negara berkenaan dapat melaksanakan cita-cita membangunkan pencak silat. Di Malaysia misalnya, aliran perguruan pencak silat telah berkembang dengan baik terutama dalam masyarakat yang berasal dari negara pencak silat namun bukan Silat Melayu atau Silat Asli Malaysia.
TANGGUNGJAWAB PSGFM MEMBANGUNKAN SILAT MELAYU MALAYSIA
Dalam kerancakkan pembangunan Pencak Silat di Malaysia, Silat Melayu yakni silat tempatan atau seni silat Melayu tradisi Semenanjung terus dibangunkan dan dikembangkan oleh beberapa aliran perguruan silat di Malaysia yang dipelopori PSGFM. Perguruan init terus menumpukan usaha pembangunan Silat Melayu agar dapat bersaing dengan aliran perguruan jenis pencak silat, seni beladiri dan seni mempertahankan diri lain di peringkat negara dan antarabangsa.
Kewujudan Persilat telah dapat memenuhi hasrat pengamal pencak silat untuk memertabatkan Pencak Silat di peringkat antarabangsa. Oleh sebab penyataan hak kedaulatan sesuatu bangsa dan negara dan apabila pencak silat diiktiraf sebagai seni beladiri bangsa Indonesia (Rayon R :1972, Ki Moh.Djoemali :1982, Uyuh Suwanda : 1979. R.Asikin :1975 atau O’Ong Maryono. 2000),
Maka menjadi tanggungjawab PSGFM untuk membangunkan dan mengembangkan Silat Melayu yang merupakan silat asli tempatan di Malaysia.
Daripada pendapat dan pandangan di atas, maka Allahyarham Tn. Guru Hj.Anuar Abd.Wahab (kini diwariskan kepada Pemegang Amanah, Tuan Guru Aminuddin Anuar) dan PSGFM telah membangunkan secara berperingkat-peringkat ilmu Silat Melayu kepada Kurikulum Silat yang dapat menjadi dasar bagi mewujudkan Sukatan Pendidikan Silat, Rancangan Mengajar, Pengajaran dan Pembelajaran Silat, Ujian Penilaian Silat yang setara dan telas serta penerapan nilai-nilai murni sejajar dengan sosio budaya, agama selaras dengan Rukun Negara.
Kurikulum Silat yang pertama pernah diwujudkan dalam dunia Silat Melayu ini telah menjadi dasar beberapa manual silat serta diperkenalkan melalui beberapa bengkel dan kursus silat seperti Kursus Juruatih Seni Silat Malaysia (mulai 2002).
Usaha ini mendapat pengiktirafan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Melaysia yang telah menyokong usaha ini melalui pelbagai kursus, bengkel dan pertandingan silat berdasarkan Kurikulum Seni Silat Malaysia semenjak tahun 2002.
Pendidikan silat PSGFM membentuk insan seimbang yang memiliki pandangan cara hidup yang sihat pada zahir dan batin Pengukuhan nilai-nilai tersebut terdapat dalam Sikap Pendekar PSGFM.
Selepas pemergian Tuan Guru Hj.Anuar Abd.Wahab AMN, usaha ini disambung oleh anakanda sulung beliau Tuan Guru Aminuddin Hj. Anuar selaku Guru Utama Kedua, PSGFM.
Allahyarham Tuan Guru Anuar Abdul Wahab AMN
Guru Utama Pertama PSGFM (1945-2009)
Tuan Guru Aminuddin Hj Anuar
Guru Utama Kedua PSGFM (2009-kini)
PLEASE CLICK HERE FOR MORE INFORMATION ABOUT PSGFM!
You must be logged in to post a comment.