Anugerah Tokoh Silat 2024 telah dikurniakan kepada Dr Hjh Siti Nazariah Hj Abdul Razak, seorang Pegawai Belia & Sukan dari Kementerian Belia & Sukan (KBS). Bidang kepakaran beliau adalah Psikologi & Kejurulatihan Sukan, Pendidikan Pengurusan, Strategik dan Polisi Sukan.
Kerjaya beliau bermula pada tahun 1999, di Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara, KBS, seterusnya berkhidmat di Bahagian Pembangunan Belia & Sukan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia dan Bahagian Dasar & Perancangan Strategik.
Beliau telah banyak menerbitkan artikal jurnal, penulisan buku dan memberi ceramah berkaitan bidang kepimpinan, kemahiran, keusahawanan, industri sukan, sosial belia serta kepimpinan-pengurusan strategik, anti-doping, aplikasi psikologi, latihan mental, polisi-akta-peraturan perundangan sukan dan seni mempertahankan diri (SMD).
Mempunyai pengalaman yang luas mengenai sukan, akta-akta di bawah seliaan KBS dan pengkaji SMD.
Pencapaian Sumbangan
Beliau pernah dianugerahkan sebagai Pengkaji Silat Terbaik 2021 dan 2022, Anugerah Penggerak Silat 2023 di Anugerah Silat Kebangsaan (ASK) dan Anugerah Outstanding Works of Contribution to the World of Martial Arts di 13th International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society (IMACSSS) Conference dan 5th Global Scientific Martial Arts and Cultural Congress (GSMACC) 2024.
Penggerak Silat
Beliau sangat aktif penglibatan sebagai Ahli Kehormat dalam penganjuran Kejohanan yang besar dan Ahli Jawatankuasa di peringkat antarabangsa & kebangsaan seperti IMACSSS-GSMACC 2020 & 2024, International Martial Arts Festival 2022, Kejohanan Silat Kebangsaan 2023-2024, Kejohanan Piala Merdeka 2023-2024, Festival Pergendangan Silat Melayu 2024 dan Kejohanan Piala Negeri Sarawak Peringkat Kebangsaan 2024 sebagai penyelidik. Gerakan aktif ini telah memartabatkan seni silat di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Pengiktirafan ini bukan hanya berdasarkan pencapaian peribadi beliau, tetapi Dr Hjh Naz juga dengan dedikasinya dalam mengembangkan seni silat melalui penyelidikan, pendidikan, dan pembentangan forum yang strategik, bengkel libat urus mengenai Akta SMD (A170) 1976 dan Akta Pembangunan Sukan (A576) 1997.
Sumbangan bidang kepakaran
Dr Hjh Naz juga terlibat secara aktif dalam melatih dan membimbing menerusi aplikasi kekuatan latihan mental kepada guru silat, jurulatih dan pesilat melalui program ceramah, motivasi dan bengkel. Inisiatif ini telah memberikan satu ruang ilmu baharu kepada ahli-ahli silat dalam dunia seni bela diri, sekaligus memastikan prinsip latihan fizikal-teknikal-taktikal-mental SMD kekal berada di tahap prestasi ideal dan relevan seiring di era moden.
Pencapaian Antarabangsa
Dr Hjh Naz telah membentangkan tajuk-tajuk berkaitan dasar, polisi, akta & peraturan berkaitan SMD semenjak 2020 sehingga 2024. Bidang akta, peraturan & dasar mengenai SMD ini telah memberi faedah sehingga ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Secara tidak langsung, negara lain turut sama mendapat pendedahan mengenai polisi & akta SMD sebagaimana pertubuhan silat & badan sukan silat peroleh. Sebagai tokoh yang dihormati, beliau telah menjadi duta seni silat Malaysia yang dirujuk, mempromosikan keunikan SMD & sebagai simbol perpaduan dan identiti budaya warisan Malaysia. Beliau mempunyai sejarah cemerlang dalam memartabatkan seni silat.
Visi dan Harapan
Sebagai penerima Anugerah Tokoh Silat 2024, Dr Hjh Naz telah menetapkan visinya untuk menjadikan silat bukan sahaja sebagai SMD warisan bangsa tetapi juga sebagai agenda pembangunan sukan SMD yang menghubungkan masyarakat dari pelbagai latar belakang sehingga ke peringkat antarabangsa. Beliau percaya bahawa seni silat melayu mampu menjadikan khususnya negara lebih dikenali dimata dunia dan umumnya antarabangsa.
Dr Hjh Naz adalah inspirasi kepada semua pihak pemegang taruh, rakyat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa seni silat bukan hanya mengenai kemahiran fizikal & mental, tetapi juga warisan intelektual & kebudayaan yang perlu dilindungi dan dipelihara. Penganugerahan ini adalah sebagai simbol dedikasi beliau yang amat berharga dalam memastikan seni silat Melayu terus berkembang di persada dunia.
You must be logged in to post a comment.