14 April 2023 – Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Majlis Amal Iftar PSGFM-FSR yang berlangsung di Hotel Perdana KLCC, Kuala Lumpur. Program ini adalah satu program kebajikan kepada komuniti yang berkait rapat dengan program USR (University Social Responsibility) UiTM kepada pihak komuniti iaitu para daie dari Pusat Dakwah Serantau, Banting dengan kerjasama pihak industri iaitu PSGFM dan Hotel Perdana KLCC. Pusat Dakwah Serantau ini merupakan pelajar pendakwah yang bakal bertugas menyebar ajaran agama Islam di pendalaman negeri Sabah & Sarawak.

This slideshow requires JavaScript.

Turut hadir ke program tersebut adalah GM Mohd Safwan Abu Hassan (Pengerusi PSGFM), Coach Muhammad Salehin Ramli (Setiausaha PSGFM), Tuan Zakaria Ismail (Pengurus Besar Hotel Perdana KLCC), Dato Nasru Syazwan Nawai (Penarah Urusan Yayasan Digital Malaysia), Prof Dr Anizu Mohd Nor (Dekan FSR, UiTM), Prof Madya Dr Mohamad Rahizam Abdul Rahim (Timbalan Dekan HEP, FSR UiTM), Prof Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin (mantan Timbalan Dekan Akademik, FSR UiTM), Dr Shahriman Ismadi Ismail (Timbalan Dekan Akademik, FSR UiTM), Prof (EMAC) Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie (Timbalan Dekan Penyelidikan & Jaringan Industri, FSR UiTM merangkap Presiden PESONA Malaysia) dan Pengarah Program, Dr Syahida Mohd Nazri. Seramai 30 orang para daei dari Pusat Dakwah Serantau telah menghadiri program yang penuh keberkatan ini dijamu dengan juadah berbuka puasa serta dihadiahkan sumbangan duit raya kepada setiap yang hadir beserta sumbangan besar kepada wakil Pusat Dakwah Serantau iaitu Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus Che Muda. Selain itu juga majlis dimeriahkan dengan kehadiran ahli-ahli Majlis Tertinggi PSGFM serta para penyumbang termasuk Tuan Basir dan keluarga dari Sydney, Australia.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi PSGFM, bacaan doa oleh wakil Pusat Dakwah Serantau, program Iftar, sumbangan Hari Raya Aidilfitiri 1444 H dan juga diserikan lagi dengan ceramah kecergasan semasa bulan Ramadhan oleh Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie. Majlis ditutup dengan sesi pengambaran berkumpulan serta ucapan Hari Raya Aidilfitri 1444 H. Para peserta juga mengambil kesempatan untuk solat Isya’ dan Solat Tarawih berjemaah di Masjid Asy Syakirin, KLCC.

Selain itu juga para tetamu telah diberikan penerangan terperinci mengenai perkembangan silat dalam dan luar negara oleh Pengerusi PSGFM. Antara intipati ucapan beliau adalah:

— Pada 28 Januari 2023, Malam Anugerah Silat Kebangsaan (ASK) 2022 yang dianjurkan oleh PSGFM untuk menghargai jasa di samping mengiktiraf 31 penerima anugerah yang telah memberikan sumbangan yang terbaik di dalam memartabatkan Silat Melayu di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2022.

— Di samping itu, pada ASK 2022 juga, PSGFM telah menerima pucuk pimpinan baru di dalam jalur perguruan PSGFM apabila YM Grandmaster Mohd Safwan Abu Hassan telah diangkat secara ijmak selaku Guru Utama PSGFM yang baru menggantikan YM Grandmaster Aminuddin Anuar.

— PSGFM & UiTM menandatangani memorandum persefahaman pada September 2022 yang lalu, pada majlis ini sekali lagi PSGFM bekerjasama dengan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) UiTM Shah Alam dalam menganjurkan Majlis Iftar Amal pada tahun 2023 bagi meraikan Pusat Dakwah Serantau.

— Persatuan Saintifik Seni Bela Diri & Sukan Tempur Antarabangsa (IMACSSS) yang berpusat di Poland, telah sebulat suara memilih Malaysia selaku tuan rumah untuk menganjurkan Persidangan Sainstifik Seni Bela Diri & Sukan Tempur Antarabangsa kali ke 13.

— PSGFM beserta Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) UiTM Shah Alam telah diberi tanggungjawab selaku penganjur persidangan tersebut yang akan dinamakan sebagai Global Scientific Martial Arts & Culturan Congress 2024 (GSMACC 2024) yang akan menghimpunkan pakar-pakar seni bela diri & sukan tempur dalam bidang akademik mahupun industri dari seluruh dunia untuk mempersembahkan dapatan kajian serta teknik seni bela diri mereka. PSGFM & FSR komited dalam memikul tugas ini dalam menaikkan nama negara Malaysia di samping memartabatkan Silat sebagai seni bela diri negara.

Semoga lebih banyak lagi pihak tampil dalam memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan semasa musim-musim ibadah yang mulia ini. Fatani Nusa Bakti.

Written by PemegangAmanah

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.