Anugerah Silat Kebangsaan 2022 bakal dihadiri oleh Menteri KBS meraikan PSGFM sebagai Persatuan Silat Terbaik Dunia 2022.

***TERKINI**** ASK2022 bakal berlangsung pada 28 Januari 2023 di Shah Alam, Selangor.

Anugerah Silat Kebangsaan (ASK) adalah merupakan satu anugerah tertinggi di Malaysia kepada individu, badan dan pertubuhan Silat Melayu sama ada di peringkat amatur atau profesional. ASK diadakan pada setiap tahun untuk menghargai jasa individu yang memberikan sumbangan dalam memartabatkan Silat Melayu sama ada di Malaysia mahupun antarabangsa.

Tiga puluh dua anugerah (32) akan diberikan kepada para penggerak Seni Silat Malaysia yang julung-julung kalinya diadakan ini. Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada para pengamal Silat Melayu yang giat mempromosikan Silat ke serata dunia.  Di samping itu, ia dapat dijadikan sebagai landasan terbaik dalam mengembangkan Seni Silat Malaysia dari masa ke semasa.

ASK 2022 bakal diadakan di Dewan Glam, Space U8 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 28 Januari 2023. PSGFM akan bekerjasama dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Selangor dan UNESCO ICM untuk penganjuran kali ini.

Kehadiran Menteri Belia dan Sukan (KBS) YBM Puan Hannah Yeoh di majlis ini bakal memberikan impak yang besar kepada pengembangan Silat di peringkat antarabangsa. Anugerah-anugerah yang disenaraikan untuk tahun ini adalah:

i. Anugerah Pendeta Silat
ii. Anugerah Pakar Silat Malaysia
iii. Anugerah Program Silat Terbaik (Antarabangsa)
iv. Anugerah Program Silat Terbaik (Nasional)
v. Anugerah Jurulatih Silat Terbaik (Lelaki)
vi. Anugerah Jurulatih Silat Terbaik (Wanita)
vii. Anugerah Keluarga Emas
viii. Anugerah Budi Emas
ix. Anugerah Pesilat Terbaik (Lelaki)
x. Anugerah Pesilat Terbaik (Wanita)
xi. Anugerah Pesilat Harapan (Lelaki)
xii. Anugerah Pesilat Harapan (Perempuan)
xiii. Anugerah Pesilat Terbaik (Putera, Remaja)
xiv. Anugerah Pesilat Terbaik (Putera, Kanak-kanak)
xv. Anugerah Pesilat Terbaik (Puteri, Remaja)
xvi. Anugerah Pesilat Terbaik (Puteri, Kanak-kanak)
xvii. Anugerah Pesilat Harapan (Putera, Remaja)
xviii. Anugerah Pesilat Harapan (Putera, Kanak-kanak)
xix. Anugerah Pesilat Harapan (Puteri, Remaja)
xx. Anugerah Pesilat Harapan (Puteri, Kanak-Kanak)
xxi. Anugerah Olahragawan Silat Malaysia (Putera, Remaja)
xxii. Anugerah Olahragawan Silat Malaysia (Putera, Kanak-Kanak)
xxiii. Anugerah Olahragawan Silat Malaysia (Puteri, Remaja)
xxiv. Anugerah Olahragawan Silat Malaysia (Puteri, Kanak-kanak)
xxv. Anugerah Gelanggang Silat Terbaik
xxvi. Anugerah Kelab Silat Terbaik
xxvii. Anugerah Perguruan
xxviii. Anugerah Tokoh Silat (Anugerah Khas)
xxix. Anugerah Pengkaji Silat Terbaik
xxx. Anugerah Khas Pengembang Silat Antarabangsa
xxxi. Anugerah Penggerak Silat
xxxii. Anugerah Khas Guru Utama

Pada tahun 2020, walaupun dilanda dengan pelbagai masalah berhubung pandemik Covid19, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) tetap gigih menganjurkan pelbagai program sama ada dalam mahupun luar talian.

Ini terbukti dengan penganjuran acara antarabangsa iaitu Penganjuran IMACSSS & GSMACC 2020 pada 10-12 Oktober 2020. IMACSSS bermaksud International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society manakala GSMACC bermaksud Global Scientific Martial Arts and Cultural Congress.

Objektif persidangan tersebut adalah untuk memberi ruang kepada semua penyelidik, pengamal, pakar, pengkaji akademik dari seluruh dunia bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai kajian-kajian seni mempertahankan diri dan sukan kombat.

Sekaligus membuka ruang kepada para peminat, pengamal industri, pegawai sukan, dan orang awam untuk hadir selama 3 hari mempelajari isu-isu terkini mengenai dunia seni mempertahankan diri dan sukan kombat. Para peserta mendengar dan mempelajari hasil-hasil kajian ilmiah, isu-isu dan berita-berita terkini yang melibatkan seni mempertahankan diri dan sukan kombat daripada pakar-pakar akademik dan pengkaji-pengkaji tempatan dan antarabangsa dari seluruh dunia.

Selain itu, persidangan dan kongres ini telah melibatkan delegasi dari Amerika Utara, Eropah, Asia dan Oceania, para peserta diberi peluang menyertai bengkel seni mempertahankan diri dan belajar daripada pakar-pakar dunia termasuklah Silat Melayu (Malaysia), Aiki-Jujutsu (Jepun), permainan tempur kayu (Poland), beladiri-jalanan (Ukraine), Taekwondo (Korea Utara) dan Karate (Jepun). Para peserta juga telah berpeluang menonton persembahan-persembahan seni mempertahankan diri daripada para pengamal seni mempertahankan diri dunia.

Kejohanan Silat Tempur peringkat dunia telah berlangsung sempena IMACSSS & GSMACC 2020 yang disertai oleh pesilat remaja dan kanak-kanak dari Malaysia, Australia, Syria dan Australia. Malam Anugerah Silat Kebangsaan 2020 (ASK 2020), anjuran Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia [PESONA Malaysia] dan World Silat Federation [WSF] berlangsung pada 4 Disember 2021 di Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre (dahulu dikenali sebagai PNB Darby Park Hotel).

 

 

Manakala pihak PSGFM telah menganjurkan International Martial Arts and Malay Silat Festival (IMAF2022) pada tahun 2022. IMAF2022 adalah satu projek komuniti antarabangsa berimpak tinggi melalui penganjuran bersama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.

Program yang berlangsung pada 28 – 30 September 2022 di Hotel Everly, Putrajaya Malaysia membawakan ramai rakan strategik penganjuran termasuklah The International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement under the auspices of UNESCO (UNESCO ICM), Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA), Pusat Ko-kurikulum UiTM, Shah Alam Selangor, Kementerian Perpaduan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Yayasan Digital Malaysia. Antara penaja yang menaja program ini adalah ANS Skills, Sate Baung, Origamas, Chocotainer, Agami Group Ustaz Don, Smoked Kingdom by Don Daniyal, Vortex Vision by Don Daniyal, Top Gun Kangen Centre, Barakah Agency termasuklah orang perseorangan iaitu Puan Asnah Mansor, Puan Norizan Mansor, Puan Aisyah Mansor.

Program ini melibatkan seramai 1000 orang peserta (sepanjang 3 hari) dari pelbagai komuniti seperti para pelajar dan guru sekolah, para pelatih guru dari Institut Perguruan Guru Malaysia, para pesilat dan jurulatih silat dari pelbagai perguruan silat di bawah PESONA Malaysia, para pakar seni mempertahankan diri dari Aikido Shudokan Malaysia, wusyu (China, WuZhuangYuan Sport Academy), Silat Melayu (Malaysia, PSGFM), Taekwondo (Korea, UNESCO-ICM), Capoeira (Brazil, UNESCO-ICM), Samba (Brazil, UNESCO-ICM), Wusyu (China, UNESCO-ICM), Batakor (Kemboja, UNESCO-ICM), Pencak Silat (Indonesia, UNESCO-ICM), Taekkyeon (Korea, UNESCO-ICM), Muay Thai (Thailand, UNESCO-ICM). Seramai 22 orang peserta antarabangsa dari UNESCO ICM hadir ke IMAF2022.

Antara program yang berlangsung adalah bengkel Seni Silat Malaysia, Persembahan Seni Mempertahankan diri dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni mempertahankan diri dan negara, Seminar Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa dari wakil FSR UiTM, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), KBS, Cardiff Metropolitan University, United Kingdom (CardiffMet), JKKN dan UNESCO ICM.

Turut berlangsung Kejohanan Silat Seni dan Silat Olahraga Peringkat Kebangsaan yang melibatkan 120 orang peserta termasuklah dari Syria, UAE dan Bangladesh. Pasukan doktor selaku bantuan kecemasan dari Tengku Ampuan Rahimah Hospital, Klang juga turut hadir memantau kejohanan yang berlangsung.

Upacara menandatangani Memorendum Persefahaman (MOU) di antara UiTM dengan UNESCO (UNESCO ICM), Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), dan Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA) di Mesmera Hall, Hotel Everly Putrajaya telah dimulakan oleh FSR untuk tujuan menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara semua pihak.

Perasmian IMAF2022 telah dilakukan oleh Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor (FSR, UiTM) dan perasmian penutup telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Perpaduan iaitu Yang Berhormat Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal. Di antara tetamu jemputan kehormat yang hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Haji Mohd Sazili Shahibi, dengan Setiausaha Agung, Encik Park Chang–Hyun mewakili UNESCO ICM, Tuan Guru Aminuddin Anuar mewakili PSGFM dan PESONA sebagai Guru Utama (Grandmaster).

Penandatanganan MoU itu disaksikan oleh Naib Canselor Industri, Jaringan Komuniti dan Alumni (ICAN), Profesor Dr Mohamad Hariri Hj Abdullah, Penolong Naib Canselor Internalisasi, Profesor Dr Shahriman Zainal Abidin, Dekan FSR, Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor, Pasukan Penyelidikan & Pembangunan UNESCO ICM, Encik Lee Kang–Hyeok, Presiden PSGFM, Grandmaster Mohd Safwan Abu Hassan, dan Grandmaster Assoc.Prof Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie, Presiden PESONA.

Turut hadir adalah para pengamal media cetak dan media sosial (TikTok, Youtube, Instagram, Utusan Malaysia), para ibu bapa pesilat, para peminat silat termasuklah dari rumah anak-anak yatim dan peminat seni mempertahankan diri dari pelbagai agensi dan para pengamal seni dan budaya di Malaysia.

Antara objektif program ini adalah;

(1) Memperkukuh rangkaian seni bela diri dunia UiTM di Malaysia daripada pelbagai aliran untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat seni mempertahankan diri Melayu;

(2) Menghimpunkan seni mempertahankan diri tradisional dan moden di Malaysia di peringkat antarabangsa,

(3) Mempromosikan sejarah sosiobudaya rakyat Malaysia tradisional dan moden kepada dunia;

(4) Memasyarakatkan seni bela diri dan memupuk jati diri serta disiplin dalam seni mempertahankan diri dalam kalangan generasi muda sebagai satu keluarga (Keluarga Malaysia);

(5) Mengembalikan silat sebagai medium perpaduan di Malaysia dan persada antarabangsa sebagai satu keluarga;

(6) Memperkukuh silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi Malaysia sebagai warisan bangsa;

(7) Mempromosikan warisan dan budaya Malaysia kepada masyarakat dunia seni mempertahankan diri terutamanya terhadap kesan pelancongan seni mempertahankan diri;

(8) UiTM untuk memperjuangkan kerjasama penyelidikan, aktiviti dan program dengan rakan kongsi global di seluruh dunia.

Program yang dinyatakan di atas berdasarkan keperluan terkini dalam menyahut seruan kelestarian dan matlamat (UNESCO and Sustainable Development Goals, SDG) UNESCO Antarabangsa. Ia bertepatan dengan matlamat SDG yang ketujuh belas (SDG 4) iaitu Kerjasama Demi Matlamat (Partnerships for The Goals).

Program ini adalah selari dengan tema kedua dalam RMK12 iaitu Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti. Program ini juga memperkukuhkan kaedah pelaksanaan dan menggiatkan semula Kerjasama Global untuk Pembangunan Mampan.

Malam ASK 2022 ini adalah kesinambungan pelancaran kiraan detik (count-down) sambutan 50 tahun PSGFM pada tahun 2026. Seramai 100 individu telah dikenal-pasti daripada 30 agensi Silat Melayu akan terlibat dalam majlis anugerah Silat Melayu berprestij ini. Pihak Majlis Tertinggi (MT) PSGFM yang ketika ini giat mempromosikan ASK 2022 dan telah mendapat pelbagai tajaan korporat dari pelbagai agensi. Kehadiran beberapa tokoh silat dan perniagaan tempatan dan antarabangsa bakal memberikan impak yang besar pada pengembangan industri silat di Malaysia. 

 

Author: PemegangAmanah