Marilah kita bersama-sama mengangkat selawat ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia insan dan kekasih Allah.

Kita lafazkan dengan kalimah-kalimah, Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Pihak Majlis Tertinggi Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) merakamkan ucapan tahniah serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong XV.

Pihak PSGFM menyambut baik tarikh itu sebagai Cuti Umum Hari Kelepasan Am.

Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah menitahkan pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja yang dijadualkan di Istana Negara pada hari ini. Seri Paduka menitahkan supaya peruntukan perbelanjaan kedua-dua acara rasmi itu dikembalikan semula kepada pihak kerajaan Pakatan Harapan dengan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Seri Paduka, yang diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan dan  merupakan anakanda sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1, Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur. Seri Paduka dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan ke-16 pada 6 Oktober 1985.

Seri Paduka kemudian menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan mengikuti jurusan Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada 24 Mei 2009, Seri Paduka dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan dan menaiki takhta Negeri Kelantan dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

Tengku Muhammad Faris Petra, 49, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29 pada 13 Sept 2010.

Pada 13 Disember 2011, Seri Paduka dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-15 oleh Majlis Raja-Raja.

Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 oleh Majlis Raja-Raja menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa pada 13 Disember 2016.

DAULAT TUANKU.

Written by PemegangAmanah