Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Aidiladha adalah masa yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan sesama ahli PSGFM.

Hikmah ibadah haji adalah cukup indah, yakni proses pentarbiahan kita tentang solidariti sosial, ukhuwah sesama ahli, kedamaian, kesucian, kebersihan, serta kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui pengagihan sembelihan korban.

Ibadah korban adalah bentuk pengorbanan yang bertitik-tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri.

Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah.

Pengorbanan yang dilakukan oleh para pendekar yang gugur pada masa lalu perlulah dihayati demi semangat cintakan agama, bangsa dan negara. Kesungguhan mereka dalam memerdekakan negara daripada kuasa asing amatlah disanjung tinggi. 

Begitu juga dengan segala usaha yang dilakukan oleh para guru, jurulatih, ibu bapa dan mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memertabahkan Silat Melayu perlulah dijadikan panduan untuk generasi kita pada masa hadapan.

Silat Melayu adalah merupakan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh para pendekar dan guru-guru silat pada masa lampau yang ikhlas berjuang, berkorban dan berusaha memelihara, memulihara dan memertabatkan seni budaya dan seni perang bangsa Melayu yang agung ini.

Pihak pengurusan Majlis Tertinggi (MT) PSGFM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1442H kepada seluruh ahli PSGFM di seluruh negara.

MT PSGFM

Written by PemegangAmanah