Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, selesai sebulan berpuasa, pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1443 H / 2022 M kepada seluruh ahli PSGFM yang beragama Islam di seluruh dunia.

Sambutan Aidilfiri berlandaskan Syariat Islam

Hari Raya Aidilfitri adalah satu perayaan agama yang wajib disambut oleh orang-orang Islam atas landasan agama.

Aidilfitri yang disambut berlandaskan agama merupakan satu ibadah kerana itu disambut berpandukan kerangka syariat Islam yang mana tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan yang menyalahi syariat.

Hari Raya Aidilfitri ialah hari meraikan kemenangan selepas mengerjakan ibadah besar, berpuasa sebulan Ramadan.

Mengeratkan Persaudaraan Sesama Ahli Dunia Persilatan Melayu

Islam adalah agama tauhid dan persaudaraan, sentiasa menggalakkan umatnya untuk merapatkan saf perpaduan.

Sebelum kedatangan Islam, manusia hidup dalam kesesatan, tanpa arah dan pedoman.

Tamadun besar dunia saling berperang antara satu dengan lain demi perluasan kuasa.

Sementara masyarakat Arab pula hidup dalam keadaan jahiliah, sering bersengketa dan
berperang dalam perkara remeh-temeh.

Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diutuskan membawa misi yang besar, iaitu memperbetulkan akidah umat Islam kepada mengesakan Allah, dan mempersaudarakan manusia yang sebelum itu saling berbalah.

Berdasarkan sejarah Baginda yang mulia, tiadalah jalan lain bagi merintis kemenangan Islam,
melainkan perlunya kita menyatu padukan umat Islam.

Pengorbanan PSGFM Mendaulatkan Silat Melayu

InsyaAllah dengan segala pengorbanan yang dilalui bersama, tidak mustahil Silat Melayu (Malaysia) akan menguasai dunia tidak lama lagi.

Dengan kepimpinan diterajui oleh GM Mohd Safwan Abu Hassan, PSGFM bakal mencipta pelbagai sejarah dalam masa terdekat.

Segala kejayaan ini adalah atas dasar pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua ahli PSGFM yang memahami perjuangan PSGFM yang merupakan satu-satunya persilatan yang memperjuangkan Silat Melayu Asli aliran Semenanjung Tanah Melayu tanpa menggabungkan, menukil, menciplak atau meniru sebagai gerakan seni mempertahankan diri yang lain seperti Pencak Silat, Karate, Aikido dan lain-lain.

Pendidikan Silat Melayu & Budaya Pahlawan

Pendidikan silat tertumpu pada usaha melahirkan pahlawan atau orang perang raja.

Pendidikan tersebut secara langsung melahirkan masyarakat pahlawan yang mengamalkan cara hidup atau budaya pahlawan, secara langsung membentuk sosio budaya Melayu tradisi.

Sosiobudaya Melayu ialah amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban bagi bangsa Melayu yang lahir dari pegangan dan kecenderungan diri masyarakat Melayu dalam berbagai bidang kehidupan untuk memberi kepuasan dan merangsang pembangunan hidup bangsa Melayu itu sendiri.

Budaya pahlawan menjadikan bangsa Melayu mempunyai keyakinan, keberanian, pengasih, jati diri yang tinggi dan kesetiaan kepada negara yang tidak berbelah bagi.

Pada umumnya orang Melayu bersifat dan berwatak sederhana dan periang, tetapi amat beradat, berbudi bahasa, sopan santun dan suka bergotong royong, bijaksana dan setia kawan dengan menghormati kawan dan lawan.

Oleh sebab itu bangsa Melayu berupaya bersaing dalam arus perkembangan bangsa besar dunia.

Tanpa pendidikan silat pada zaman itu, bangsa Melayu tidak berupaya mempertahankan ketuanan dan tamadunnya.

Semoga Ramadan kali ini memberikan keberkatan kepada kita semua.

Tangan dihulur maaf dipinta,
Erat hubungan sesama kita,
Semoga gembira di hari yang mulia ini,
Salah dan silap harap dimaaf,
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.

FATANI NUSA BAKTI

Rujukan:

Shapie, M.N.M., Elias, M.S., Ismail, S. and Hamid, N.A. (2015). Sumbangan Kurikulum Seni Silat Malaysia kepada Warisan dan Tamadun Melayu (Seni Silat Malaysia Curriculum contribution to Heritage and Malay civilization). In “e-Proceedings of the International Conference of Malay Heritage and Civilization (ICOMHAC), 16-17 Disember 2015, Century Helang Hotel, Pulau Langkawi,” Ibrahim S, Salamat ASA., and Zamhury N (eds.); p. 381-404. Langkawi: Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah, Malaysia. (e-ISBN: eISBN 9789670314).

Written by PemegangAmanah