Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM Official) mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharam 1440 Hijrah kepada semua ahli PSGFM Official yang berdaftar di seluruh negara & antarabangsa.

Sesungguhnya sambutan Maal Hijrah ini adalah merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati peristiwa hijrah Nabi Muhammad S.A.W. dan mereka yang beriman dari kota Mekah ke kota Madinah yang mana telah mengubah senario dan lanskap dunia.

Perubahan yang berlaku kepada orang-orang Islam pada ketika berubah daripada umat yang ditindas oleh kaum Mushrikin kepada umat yang kuat, gagah dan mampu mentadbir Madinah (sekaligus memiliki kerajaan sendiri).

Makanya umat Islam telah bebas bergerak menyampaikan dan mengembangkan dakwah Islam ke mana sahaja.

“Islam adalah agama peneraju dan pembimbing menuju laluan yang terbaik ke arah kesejahteraan hidup bersatu padu, saling mendampingi dan menyayangi, bukan ke arah perpecahan dan kebinasaan.

“Sebab itu, ukhuwah dan saling menyantuni di antara kita perlu dijalini dan diperkasakan bagi membentuk perpaduan serta kesejahteraan hidup dan bersama-sama berusaha gigih dalam membentuk perpaduan dan saling menyantuni antara satu dengan yang lain.

Peringatan Allah dalam surah as Saf:

” Wahai orang-orang beriman, kenapakah kamu bercakap tentang apa yang kamu tidak lakukan. Sesungguhnya sebesar-besar kebencian di sisi Allah sekiranya kamu bercakap tentang apa yang tidak kamu lakukan”.

Kita selaku penyambung waris bangsa Melayu yang gagah berani dalam mempertahankan Seni Silat Melayu (Seni Silat Malaysia) daripada dicampur adukkan kepada pelbagai bentuk yang mengikis identiti bangsa. Silat adalah warisan bangsa Malaysia yang wajar dipertahankan oleh semua termasuklah mereka yang bergelar bangsa Malaysia.

Usaha-usaha pihak tertentu dalam mempromosikan selain daripada seni mempertahankan diri bangsa Malaysia ini perlulah dihentikan dan wajar diambil perhatian oleh pihak kepimpinan negara kerana amat merugikan bangsa Malaysia di masa hadapan.

Perubahan ideologi seperti memperlajari pelbagai seni mempertahankan diri adalah lebih baik daripada hanya mempelajari Seni Silat Melayu adalah satu pemikiran yang rosak kerana tidak ramai manusia (kini) yang bergelar Melayu yang benar-benar arif mengenai Silat Malaysia. Maka perlulah mereka mencari perguruan yang benar-benar memperjuangkan dan mempromosikan Seni Silat Malaysia dalam menghayati hakikat sebenar Seni Silat ini. Justeru itu, PSGFM Official adalah pertubuhan silat yang meneruskan kesinambungan  Allahyarham Anuar Abdul Wahab dan guru-guru sebelumnya dalam mempertahankan identiti seni mempertahankan diri bangsa Malaysia yang hebat ini.

Segala usaha perlulah ikhlas dan bersatu mengembeling tenaga bersama Guru Utama PSGFM Official iaitu, YM TG Super GM Aminuddin Anuar yang meneruskan jurai yang telah diwariskan kepada kita zaman berzaman.

Melayu perlu berubah dan menghayati nilai-nilai murni yang diterapkan dalam Seni Silat Malaysia supaya tidak ketinggalan dengan bangsa-bangsa yang lain yang ketika ini gigih mengembangkan warisan mereka.

Semoga usaha kita ini direstui Allah.

FATANI NUSA BAKTI

 

 

 

 

 

 

 

Written by PemegangAmanah