Upacara perasmian persidangan antarabangsa IMACSSS & GSMACC 2020 telah berlangsung dalam suasana gilang-gemilang sebentar tadi di Hotel Everly Putrajaya.

Persidangan ini berlangsung dari 10-12 Oktober 2020.

Majlis perasmian ini dilakukan oleh Penasihat Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) iaitu Datuk Abdul Rashid Asari.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran YM Tuan Guru GM Aminuddin Anuar selaku Pengerusi merangkap Guru Utama PSGFM, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA iaitu Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor, GM Dr Pro Mohamad Nizam Mohamed Shapie selaku Pengerusi Penganjuran IMACSSS & GSMACC 2020, Pengarah Urusan Summit Features Sdn. Bhd (rakan penaja) iaitu Ir. Mohamad Azlan Mohamed Shapie, Pengarah Urusan Penta Harvest International Sdn. Bhd. (rakan penaja) iaitu Mr Charlie Lim dan Pengarah Urusan Origamas Sdn. Bhd. iaitu Encik Zulkipli Mansor.

IMACSSS bermaksud International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society manakala GSMACC bermaksud Global Scientific Martial Arts and Cultural Congress.

Objektif persidangan ini adalah untuk memberi ruang kepada semua penyelidik, pengamal, pakar, pengkaji akademik dari seluruh dunia bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai kajian-kajian seni mempertahankan diri dan sukan kombat.

Sekaligus membuka ruang kepada para peminat, pengamal industri, pegawai sukan, dan orang awam untuk hadir selama 3 hari mempelajari isu-isu terkini mengenai dunia seni mempertahankan diri dan sukan kombat.

Para peserta akan berpeluang mendengar dan mempelajari hasil-hasil kajian ilmiah, isu-isu dan berita-berita terkini yang melibatkan seni mempertahankan diri dan sukan kombat daripada pakar-pakar akademik dan pengkaji-pengkaji tempatan dan antarabangsa dari seluruh dunia.

Selain persidangan dan kongres yang melibatkan delegasi dari Amerika Utara, Eropah, Asia dan Oceania, para peserta diberi peluang menyertai bengkel seni mempertahankan diri dan belajar daripada pakar-pakar dunia termasuklah Silat Melayu (Malaysia), Aiki-Jujutsu (Jepun), permainan tempur kayu (Poland), beladiri-jalanan (Ukraine), Taekwondo (Korea Utara) dan Karate (Jepun).

Para peserta juga berpeluang menonton persembahan-persembahan seni mempertahankan diri daripada para pengamal seni mempertahankan diri dunia.

Kejohanan Silat Tempur peringkat dunia akan berlangsung sempena IMACSSS & GSMACC 2020 yang bakal disertai oleh pesilat remaja dan kanak-kanak dari Malaysia, Australia, Syria dan Australia.

Liga Silat Tempur Kebangsaan adalah liga silat pertama di dunia yang diperkenalkan di Malaysia oleh Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia sejak tahun 2013.

Berita selanjutnya menyusul …

Written by PemegangAmanah