Pasukan Australia berjaya menggondol Piala Aminuddin Anuar 2018 yang berlangsung dengan jayanya di Sherwood Gateway Hotel, Bandar Baru Bangi. Para pesilat dari Australia menjuarai kategori masing-masing yang dipertandingkan. Abdullah Basir juga telah dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Kejohanan.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) yang menjadikan kejohanan ini sebagai program tetap tahunan sejak tahun 2015.

Kejohanan yang bertaraf lima bintang ini telah dilangsungkan dengan meriah di Grand Ballroom Sherwood Gateway Hotel yang mendapat sambutan hebat daripada para jurulatih, pesilat dan ahli keluarga para pesilat yang bertanding.

Para pesilat disediakan ruangan berehat dan menukar persalinan pertandingan di samping ruangan khas makan minum sepanjang kejohanan berlangsung.

Para tetamu diberikan kemudahan makan minum serta ruang menonton yang luas untuk berehat sambil menghayati pertandingan yang berlangsung bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Kejohanan bermula dengan sesi senaman memanaskan badan sebelum gelanggang dibuka. Majlis bermula dengan bacaan doa oleh Tuan Guru GM Prof Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie dan persembahan pembukaan gelanggang oleh Tuan Guru GM Mohd Shahiid Elias.

 

 

 

Perlawanan dijalankan secara round-robin dalam menentukan juara sebenar untuk kejohanan kali ini. Untuk meraih gelaran CHAMPION untuk kali ini sekurang-kurangnya setiap peserta perlu melalui 2 perlawanan yang sah – sekaligus membantu mengumpul POWER RANKING KEJOHANAN TAHUN 2018.

Perlawanan sudah berlangsung sengit di awal pertandingan kerana hampir 80% para peserta yang bertanding telah mempunyai pengalaman bertanding dalam kejohanan sebelum ini.

Nama-nama seperti Adam Thaqiff, Puteri Elissa Sarah, Mohd Azraf Luqman, Amierul Adam, Ammar Arshad, Abdullah Basir telah meniti di bibir setiap peminat sukan Silat Tempur ini kerana kehebatan para pesilat licik ini di tengah gelanggang.

Di antara penambah-baikan yang berlaku pada kejohanan kali ini adalah:

  • Para pesilat ditempatkan pada suatu kawasan khas sebelum mereka mengambil sudut masing-masing.
  • Para pesilat dibenarkan membawa seorang pembantu/jurulatih menemani mereka semasa perlawanan berlangsung.
  • Keputusan pertandingan diumumkan setelah markah disahkan oleh Setiausaha Pertandingan, Ketua Pertandingan dan Juru Audit Pertandingan.
  • Sistem round-robin dijalankan bagi mana-mana kategori yang kurang 3 pesilat.
  • Ruang kawasan penonton yang lebih selesa khasnya yang membawa anak-anak kecil.
  • Grand Ballroom bertaraf lima bintang yang berhawa dingin menambah keselesaan para penonton dan pesilat yang bertanding.
  • Surau berdekatan dengan Grand Ballroom yang bersih.
  • Tandas yang mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan bersih.
  • Makanan dan minuman disediakan kepada semua yang hadir pada kejohanan kali ini.
  • Sistem pembesar suara dan muzik yang menhangatkan suasana pertandingan.
  • Lokasi jualan peralatan silat yang menempatkan jurujual yang bertauliah.
  • Lokasi papan putih yang memaparkan giliran perlawanan setiap pesilat yang bertanding.
  • Meja Perubatan khas untuk ahli paramedik yang menyertai kejohanan kali ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejarah telah terpahat di mana PSGFM berjaya membawa pertandingan Silat Tempur ini ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan pesilat dari luar negara. Rata-rata penonton dan pesilat yang hadir ke Kejohanan Silat Tempur 2018, Piala Aminuddin Anuar amat berpuas hati dengan tahap kemudahan dan layanan penganjur.

Kehadiran YM Tuan Guru GM Aminudin Anuar, Guru Utama PSGFM ke kejohanan kali ini menaikkan semangat ramai pihak yang menunggu-nunggu peluang bertemu dengan Pakar Silat tersebut. Beliau yang tiba dari Sabah pada sebelah awal pagi memberikan ucapan penutupan yang penuh pengisian khasnya mengenai sejarah silat tempur, Silat Melayu vs Pencak Silat, Silat Olahraga, karier persilatan dan peranan guru silat dalam membangunkan masyarat Malaysia.

Beliau juga menyampaikan hadiah kepada semua para pemenang dan sesi pengambaran dilakukan selepas itu.

 

 

 

 

KEPUTUSAN PERTANDINGAN

Piala Aminuddin Anuar 2018

Written by PemegangAmanah