KENYATAAN MEDIA

Shah Alam, 9 Ogos 2024Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Bengkel Seni Silat Malaysia bersempena dengan kehadiran Setiausaha Agung UNESCO International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement (ICM), Encik Kim Gyujig, ke Malaysia. Bengkel ini akan diadakan pada 17 dan 18 Ogos 2024 di SK Seksyen 9, Shah Alam dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bengkel ini adalah sebahagian daripada program 2024 8th Martial Arts Open School in Malaysia, yang telah berjaya mempromosikan seni mempertahankan diri di Malaysia, khususnya seni silat, di peringkat antarabangsa. Program ini menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya seni mempertahankan diri yang kaya di Malaysia.

Acara ini akan mempertemukan 150 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam dan peserta-peserta lain dengan para jurulatih, penceramah, serta pensyarah dari Martial Arts & Combat Sports Research Network (RIG, UiTM), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), dan delegasi UNESCO ICM dari Korea Selatan. Selain daripada latihan praktikal, peserta juga berpeluang untuk berdiskusi secara langsung dengan para pakar dalam bidang seni mempertahankan diri.

Bengkel ini juga berperanan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-17 UNESCO, iaitu ‘Kerjasama Demi Matlamat’ (Partnerships for The Goals), dan adalah sejajar dengan tema kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memperkukuh keselamatan, kesejahteraan, dan inklusiviti.

Seni silat, sebagai warisan budaya yang bernilai, memainkan peranan penting dalam membina identiti bangsa dan perpaduan masyarakat. Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan silat bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri tetapi juga sebagai alat pembangunan diri, disiplin, dan integrasi sosial. Ini seiring dengan matlamat PSGFM untuk memperkenalkan dan mengukuhkan seni silat di peringkat global melalui program seperti ini.

Dengan penglibatan UNESCO ICM, bengkel ini dijangka akan menjadi satu platform penting untuk bertukar-tukar idea dan strategi dalam memperkembangkan seni silat di arena antarabangsa. Kolaborasi ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara-negara lain dalam bidang seni mempertahankan diri, tetapi juga memperluaskan pengaruh dan impak seni silat di peringkat dunia.

PSGFM berharap agar Bengkel Seni Silat Malaysia ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan kerjasama antarabangsa di masa hadapan. Dengan sokongan dari semua pihak, PSGFM yakin bahawa seni silat akan terus berkembang dan dikenali sebagai salah satu warisan budaya yang membanggakan Malaysia di persada dunia.

Semua peserta yang berminat diminta untuk mendaftar melalui pautan dalam talian di https://tinyurl.com/bengkelsilat2024 selewat-lewatnya pada 16 Ogos 2024.

Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak dalam menjayakan bengkel ini. Semoga acara ini menjadi pemangkin kepada usaha memartabatkan seni silat di persada dunia.

 

Written by PemegangAmanah