Syukur kepada Allah.

Pihak Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah bersetuju menjadi rakan penganjur bersama International Martial Arts & Malay Silat Festival 2022 (IMAF 2022) yang bakal berlangsung di Everly Hotel, Putrajaya.

Dekan FSR, Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor melalui surat kepada GM Prof Madya Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie telah bersetuju dan bakal memberikan kepakaran pengurusan acara kepada pihak PSGFM. Program ini juga telah mendapat perhatian pihak UiTM, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai peserta dari dalam dan luar negara.

Usahasama ini adalah rentetan kerjasama yang berlangsung sebelum ini iaitu International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society Conference 2020 (IMACSSS) dan Global Scientific Martial Arts and Cultural Congress 2020 (GSMACC) yang berlangsung pada 10-12 Oktober 2020 di hotel yang sama.

Objektif utama penganjuran program ini adalah :

  • Memberi kesedaran, pengetahuan dan mendidik orang awam terutamanya kepada guru-guru dan pelajar-pelajar betapa pentingnya mempelajari seni mempertahankan diri dalam memupuk semangat hormat-menghormati dan kerjasama di antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
  • Program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan sukan seni mempertahankan dalam membentuk disiplin, serta mengawal diri dan emosi.
  • Program ini memberi peluang kepada para guru mempelajari isu-isu dan berita-berita terkini yang melibatkan seni mempertahankan diri yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan selaku seorang pendidik dalam membentuk para pelajar sekolah yang berkeyakinan diri dalam mengharungi arus kehidupan yang mencabar.
  • Melahirkan masyarakat yang dapat menghargai kepentingan mempelajari seni mempertahankan diri dalam membentuk para pelajar yang yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
  • llmu pengetahuan yang dapat dipelajari melalui pembelajaran secara formal atau tidak formal menerusi program tiga hari ini.
  • Program ini juga diharapkan dapat menyuburkan semangat pada diri para guru dan pelajar untuk membina kecergasan fizikal menerusi pelbagai aktiviti fizikal yang ada dalam mempelajari seni mempertahankan diri

Festival seni mempertahankan diri ini bukan sekadar untuk semua penyelidik, pengamal, pakar dan pengkaji akademik dari seluruh dunia tetapi juga membuka ruang kepada para peminat, pengamal industri, pegawai pelaksana, dan orang awam untuk hadir selama tiga hari mempelajari dan menambah pengetahuan berkenaan isu-isu terkini mengenai dunia seni mempertahankan diri dan sukan kombat.

Tahniah FSR!

Tahniah PSGFM!

Tahniah Malaysia!

SILAT UNTUK SEMUA

 

Written by PemegangAmanah