Shah Alam, Selangor – Syawal yang menjelma pada 1440H menjadi saksi kepada kejayaan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri 1440H yang dihadiri oleh ramai ahli, bekas ahli, peminat, penyokong serta pemimpin kerajaan yang memberikan sokongan moral di atas segala pencapaian Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM OFFICIAL) sejak diterajui oleh YM GM Aminuddin Anuar pada Mei 2013.

Walaupun tidak pernah diberikan sebarang jenis geran tahunan oleh mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta PSGFM OFFICIAL bergerak melalui sokongan dana dan infak para ahli yang ikhlas memberikan bantuan sama ada daripada segi kewangan, masa mahupun tenaga.

Jelas pencapaian-pencapaian yang dikecapi adalah hasil daripada niat murni setiap ahli yang memahami objektif dan amanah yang diberikan oleh guru-guru mahupun pejuang-pejuang negara sebelum ini khasnya amanat yang ditinggalkan oleh Almarhum Tuan Guru Anuar bin Abdul Wahab.

Berikut adalah ringkasan Majlis Rumah Terbuka PSGFM Official 2019 yang berlangsung semalam:

11.00 pagi – Para Ahli Majlis Tertinggi (MT) PSGFM Official tiba dan meninjau persiapan sementara menunggu kehadiran Guru Utama PSGFM Official. Tiga buah khemah ditempatkan di laman Teratak Pendekar bagi menampung para tetamu yang bakal hadir pada hari yang dinanti-nantikan ini.

Syukur kerana tiada tetamu yang membawa anak-anak terjun ke dalam kolam renang kerana ianya merupakan lokasi utama para pesilat menjalani latihan air (aqua silat) sebelum ke luar negara.

11.15 pagi – Kehadiran Guru Utama PSGFM Official disambut oleh TG GM Mohamad Nizam Mohamed Shapie dan dibawa sekeliling melihat khemah kambing golek, nasi beriani, cendol dan rojak Shah Alam dan lain-lain lagi.

11.30 pagi – Bacaan tahlil untuk Allahyarham TG Anuar Abdul Wahab dan guru-guru yang telah meninggalkan kita diikuti bacaan doa selamat.

Majlis berlangsung dengan tenang dan dipimpin oleh ahli MT PSGFM Official iaitu Ustaz Ahmad Farhan.

Beliau juga adalah bekas imam di sebuah Masjid di Shah Alam.

Selesai majlis bacaan tahlil dan doa selamat para MT menjamu selera sebelum menerima kedatangan tetamu yang dijangka hadir lebih awal memandangkan musim rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.

12.00 tengah hari – Ketibaan awal para tetamu. Mereka adalah ahli keluarga dan kenalan rapat Ahli MT PSGFM Official.

Ada juga yang membawa juadah bersama termasuklah kek lapis, kek bertingkat, spaghetti istimewa yang dibuat khas untuk majlis ini serta manisan dari Syria.

1.00 petang – Hampir 300 orang tetamu telah hadir ketika ini walaupun majlis sebenar bermula pada jam 2 petang. 

2.00 petang – Teratak Pendekar diserbu oleh hampir 500 orang tetamu yang terpaksa beratur panjang untuk memasuki kawasan ini. Kebanyakan dari mereka hadir dari utara dan selatan tanah air.

Ahli Majlis Tertinggi, PT Hazim yang merupakan Ketua Jurulatih Kecergasan PSGFM Official hadir pada jam 3.15 petang kerana terpaksa beratur panjang sebelum berjaya memasuki kawasan Rumah Terbuka Aidilfitri.

Beliau bergegas dari Putrajaya disebabkan urusan kerja di sebelah pagi.

2.30 petang – Guru Utama, Aminuddin Anuar menerima kunjungan dari para pesilat Selangor di era 80 an dan 90 an. Mereka hadir dan disambut dengan gembira oleh para pesilat PSGFM. Kunjungan ini mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli dan bekas ahli PSGFM.

3.00 petang – Kehadiran Exco Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, menambahkan lagi kemeriahan majlis rumah terbuka PSGFM Official.

Sekalung bunga kepada Datuk yang hadir pada majlis ini.

Beliau disambut oleh Guru Utama, Aminuddin Anuar dan para ahli MT PSGFM Official. Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan kerja, beliau masih memberikan tumpuan kepada majlis di Teratak Pendekar ini.

Datuk Abdul Rashid dihidang dengan hidangan istimewa beliau.

Pelbagai perkara dibincangkan selama 45 minit Datuk Abdul Rashid bersama Guru Utama, GM Mohamad Nizam dan para ahli MT. Cenderahati istimewa diberikan kepada beliau sebelum beliau berangkat ke Majlis bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Pandan.

5.00 petang – Majlis selasai walaupun masih ada para tetamu yang hadir. Para tetamu masih dihidangkan dengan jamuan yang disediakan. 

PSGFM Official mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

Para MT bergambar swafoto selepas hampir 5 jam melayan para tetamu yang hadir. Satu gambaran yang jelas menunjukkan sokongan ahli dan peminat kepada pasukan pengurusan PSGFM Official yang dipimpin oleh Tuan Guru GM Aminuddin Anuar

Written by PemegangAmanah