Malaysia berbangga dengan pencapaian Pakar Silat Malaysia yang juga Ahli Penasihat Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) iaitu GM Prof Dr Mohamad Nizam bin Mohamed Shapie  yang telah terpilih membentangkan pengalaman beliau selaku jurulatih silat antarabangsa di UNESCO ICM & UiTM JOINT INTERNATIONAL SEMINAR ON YOUTH DEVELOPMENT THROUGH MARTIAL ARTS yang bakal berlangsung di Chungju, Korea pada 15 November 2022.

Beliau juga adalah merupakan Ahli Penasihat Pakar UNESCO ICM untuk Silat Melayu telah diberikan penghormatan ini bersama dengan pakar-pakar akademik seni mempertahankan diri yang lain termasuklah Taekwondo, Karate, Sholin Kung Fu, Mixed Martial Arts yang akan hadir dari 20 buah negara. Selain itu juga, GM Nizam adalah merupakan pemegang The Golden Medal of Honour and Merit, Expert Professor of Martial Arts, Grandmaster of Martial Arts yang diterima daripada badan seni mempertahankan diri bertauliah dunia di Eropah iaitu International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society (IMACSSS) dan European Martial Arts Committee (EMAC) di atas segala sumbangan beliau dalam mengembangkan dan memartabatkan Seni Silat Melayu di peringkat dunia khasnya dalam semua persidangan antarabangsa IMACSSS sejak 2014.

Beliau juga adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan silat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui kaedah penyelidikan dan akademik dalam usaha beliau melahirkan seorang pendekar silat yang serba lengkap dari segi teori, praktikal dan kehidupan. Usaha-usaha beliau selama ini mendapat pengiktirafan di antara kerjasama UiTM dan UNESCO.

Kerjasama strategik di antara UiTM dan UNESCO ICM ini memberikan impak yang besar kepada negara dalam usaha menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia menjelang 2025.

Impak Pertama: kerjasama pada tahun 2021 oleh pihak UNESCO ICM menganugerahkan geran kepada Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM bersama pasukan penyelidiknya dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Filipina untuk menjalankan penyelidikan mendalam tentang seni mempertahankan diri di Asia Tenggara. Memorandum Perjanjian (MOA) tersebut berjumlah RM165,900.00.

 

Impak Kedua: Seramai 22 orang delegasi UNESCO ICM dari pelbagai negara iaitu Brazil, Thailand, Kemboja, Indonesia, Brazil, China dan Korea telah hadir ke International Martial Arts & Malay Silat Festival 2022 (IMAF 2022) yang berlangsung selama 3 hari mulai 28 hingga 30 September 2022 di Hotel Everly, Putrajaya. IMAF 2022 adalah anjuran bersama FSR bersama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), Yayasan Digital Malaysia (YDM) dan Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA). UNESCO ICM telah menjadi rakan strategik di program tersebut. Antara program yang berlangsung adalah bengkel, seminar, persembahan dan pertandingan seni mempertahankan diri yang juga melibatkan para peserta dari Syria, UAE dan Bangladesh. Turut berlangsung adalah upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara UiTM dengan UNESCO (UNESCO ICM), Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), dan Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA).

 

Impak Ketiga: Usaha sama FSR UiTM bekerjasama dengan UNESCO untuk menganjurkan International Seminar on Youth Development through Martial Arts di Chung ju, Korea pada 15 November 2022. Kerjasama ini adalah selari dengan Memorandum Perjanjian (MOA) di antara UiTM dan UNESCO ICM berjumlah RM 167,047.00 untuk Geran Penyelidikan Strategic Research Partnership (SRP) yang akan bermula pada 1 November 2022 – 1 November 2023.

 

Impak Keempat: Satu perbincangan telah dijalankan di ICM, Chungju, Korea untuk penganjuran persidangan antarabangsa International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society 2024 (IMACSSS 2024). FSR & PSGFM telah menganjurkan persidangan tersebut di Putrajaya ada 10 – 12 Oktober 2022. Kini sekali lagi Malaysia telah diberikan penghargaan untuk menganjurkan persidangan tersebut pada tahun 2024. Maka pihak FSR akan bekerjasama dengan pihak UNESCO ICM untuk menjadikan persidangan tersebut berjaya seperti tahun 2020.

 

Impak Kelima: Seminar ini menjadi peluang luar biasa untuk mengukuhkan perkongsian global UNESCO ICM dan UiTM dengan pakar dan ahli akademik terkemuka dunia dalam bidang penyelidikan seni mempertahankan diri untuk kebaikan kepada golongan belia. Ini adalah satu usaha bersama ICM dan UiTM dalam memenuhi matlamat dan visi bersama memupuk golongan muda untuk menjadi pemimpin generasi akan datang yang berdaya tahan dan matang.

 

 

GM Nizam adalah individu pertama dalam dunia yang telah diberikan kepercayaan menerajui dunia Silat Melayu melalui kaedah akademik (penyelidikan) oleh pihak antarabangsa. Usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau sejak 10 tahun yang lepas telah membuahkan hasil. Malaysia berbangga dengan segala usaha dan pencapaian yang telah beliau lakukan dalam usaha kita mendaulatkan Silat Melayu di seluruh pelusuk dunia.

Benarlah kata arwah Guru Utama Pertama PSGFM iaitu Allahyarham Tuan Guru Anuar Abdul Wahab pada tahun 2006 bahawa beliau (GM Nizam) adalah masa depan silat. Seperti kata-kata azimat Melayu ‘jika benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau, dilontar ke langit menjadi bintang, jatuh kedaratan menjadi pohon berbuah nan rendang’. Pihak PSGFM berbangga dengan pencapaian beliau. Semoga lebih ramai lagi pendekar hebat seperti beliau dapat dilahirkan pada masa hadapan demi kegemilangan dunia Silat Melayu.

FATANI NUSA BAKTI

Written by PemegangAmanah