Pihak pengurusan Majlis Tertinggi (MT) PSGFM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1444H / 2023 kepada seluruh ahli PSGFM di seluruh negara. Tidak dilupakan kepada semua penyokong PSGFM dalam dan luar negara. Segala pengorbanan, kesabaran, kejayaan dan kegemilangan kita tempuhi bersama sejak PSGFM diterajui oleh kepimpinan utama iaitu Tuan Guru Mohd Safwan Abu Hassan (2023-kini). Justeru itu, kami memohon kemaafan andai terdapat kesalahan mahupun kesilapan kami selama ini kepada seluruh ahli PSGFM dan peminat silat semua.

Segala kejayaan ini adalah atas dasar pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua ahli PSGFM yang memahami perjuangan PSGFM yang merupakan satu-satunya persilatan yang memperjuangkan Silat Melayu Asli aliran Semenanjung Tanah Melayu tanpa menggabungkan, menukil, menciplak atau meniru sebagai gerakan seni mempertahankan diri yang lain seperti Pencak Silat, Karate, Aikido dan lain-lain.

Selama sebulan penuh kita telah menjalani puasa Ramadhan sesuai dengan perintah Allah subhanahu wa ta’ala di dalam Al-Qur’an, surat Al-Baqarah, ayat 183 yang berbunyi:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Ibadah puasa memang bertujuan untuk membentuk kita semua menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah. Kita dilarang melakukan perkara seperti makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa. Semua itu bertujuan untuk melatih kita menjadi manusia yang mampu menahan diri.

Jika kita mampu menahan diri, maka insyaAllah kita juga akan dapat menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan agama Islam. Sudah pasti kita mampu meninggalkan larangan itu.

 

Tangan dihulur maaf dipinta,
Erat hubungan sesama kita,
Semoga gembira di hari yang mulia ini,
Salah dan silap harap dimaaf,
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.

Written by PemegangAmanah