KONGRES SENI GAYUNG FATANI ANTARABANGSA &
SIMPOSIUM SILAT MELAYU KEBANGSAAN 2018
PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI MALAYSIA [PSGFM]

Sandakan, 18 Ogos 2018 – Pihak Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) telah menganjurkan Kongres Seni Gayung Fatani Antarabangsa & Simposium Silat Melayu Kebangsaan bertempat di PSGFM Hall, Kompleks Sukan, Sandakan, Sabah.

Program yang berlangsung serentak ini adalah salah satu usaha PSGFM dalam mengukuhkan lagi kedudukan Seni Silat Melayu selaku seni mempertahankan diri bangsa Malaysia melalui program yang bermula sejak tahun 2002 oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan (KekkWA) (kini Kementerian Pelancongan dan Warisan Negara, MOTEC) yang dikenali sebagai Program Pembangunan Silat Malaysia menggunakan Kurikulum Seni Silat Malaysia.

Seramai 100 orang peserta terlibat dengan kongres dan simposium. Ini termasuklah 10 orang delegasi dari Semenanjung Malaysia yang melibatkan kelab-kelab silat yang aktif di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, Putrajaya dan Melaka.

Usaha PSGFM telah mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) apabila Menteri Perundangan Malaysia YB Datuk VK Liew telah memberi sokongan yang kuat terhadap usaha yang dilakukan oleh PSGFM ini. Beliau telah diwakili oleh Tuan Adin Ismail dan 2 orang pegawai dari Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah.

Upacara perasmian Kongres dan Simposium Silat Melayu Kebangsaan (kali pertama) PSGFM ini telah berlangsung selama satu jam didahului dengan bacaan doa oleh Ustaz Farhan Ahmad. Tuan Guru Utama, Super GM Aminuddin Anuar telah memulakan ucapan pendahuluan selaku tuan rumah kepada program kali in.

Menurut beliau, usaha yang dilakukan ini adalah langkah awal sumbangan PSGFM kepada kemajuan Silat Melayu di Malaysia. PSGFM adalah satu-satunya pertubuhan silat yang mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara ini temasuklah Anugerah Perstuan Silat Tebaik di Peringkat Asia oleh Sports Industry Awards pada tahun 2015, Persembahan Terbaik di Pertunjukan Gala 15 seni beladiri dunia di Poland pada tahun 2014, Menghasikan penulisan buku silat Melayu melalui kerjasa dengan JKKN pada 2016, Menghasilkan kajian-kajian ilmiah dan membentangkannya di persidangan-persiDangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 2013, pertubuhan silat yang mempunyai liga silat kebangsaan yang dikenali sebagai Silat Tempur sejak diperkenalkan pada tahun 2013 dan satu-satunya pertubuhan yang bertaraf ahli pendiri PESAKA tidak mendapat geran tahunan oleh kerajaan lepas (kerajaan barisan nasional) yang bergerak secara aktif menjalankan pembangunan dan pengembangan kebudayaan seni mempertahankan diri Melayu melalui kaedah fundrising dan sumbangan keahlian.

Tuan Guru Aminuddin juga menambah bahawa sudah tiba masanya kerajaan PH mengiktiraf PSGFM selaku badan utama persilatan negara yang membangun dan mengembang Seni Silat Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

 

Manakala ucapan wakil Menteri Perundangan, Datuk V.K. Liew iaitu Tuan Adin Ismail pula menyatakan penghargaan terhadap jemputan yang diberikan oleh pihak PSGFM kepada Tuan Guru GM Aminuddin Anuar serta menyatakan tahniah di atas usaha yang diteruskan oleh PSGFM dalam mengembangkan Silat Melayu melalui kaedah akademik (kongres dan simposium) yang memberi manfaat kepada bangsa Malaysia. Menurut beliau, program ini merupakan acara di mana kita semua berpeluang untuk bersama-sama mengenal dan memahami Silat Melayu yang sering di salah-ertikan sebagai Pencak Silat dari Indonesia. Hal ini adalah demikian supaya kita dapat membudayakan lagi Seni Silat ini dalam kehidupan seharian demi merealisasikan usaha mendaulat Seni Silat Melayu.

Beliau juga menyatakan bahawa antara agenda kerajaan dalam menyokong usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia merealisasikan program ini adalah untuk melahirkan generasi muda sebagai pelapis dari perguruan silat yang menjadi tulang belakang pembangunan bangsa Malaysia. Masih ramai pengamal silat dalam kalangan penduduk desa tetapi amalan ini berunsur sepi kerana mereka tidak mempunyai organisasi dan tidak diberi peluang dalam membangunkan ilmu ini di peringkat kebangsaan seterusnya di peringkat antarabangsa.

Beliau yang bersemangat memberikan ucapan menyatakan bahawa PSGFM adalah satu-satunya perguruan silat yang menampilkan ramai pimpinan dari kalangan belia yang bakal mencorak bentuk Silat Malaysia pada masa hadapan. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam usaha membangunkan seni budaya negara ini. Mengakhiri ucapan beliau berpesan kepada anak-anak bangsa untuk menghayati warisan dan budaya bangsa dalam erti kata sebenar kerana pengertiannya bukan sekadar untuk mereka yang mahir dalam bidang ini walhal ia mempunyai pengertian yang luas yang patut kita sama-sama hayati bagi membangunkan Malaysia. Seterusnya upacara perasmian Kongres Seni Gayung Fatani Antarabangsa & Simposium Silat Melayu Kebangsaan dilakukan dengan paluan gong sebanyak tiga kali disusuli dengan montaj kejayaan-kejayaan PSGFM sejak tahun 2013 hingga kini di peringkat nasional dan antarabangsa. Kejutan telah dilakukan dengan pengumuman pengajuran Persidangan Seni Beladiri Dunia yang bakal disertai oleh 60 buah negara yang bakal dianjurkan oleh PSGFM pada tahun 2020 di Sabah.

 

 

 

Setelah jamuan bersama-sama para tetamu undangan, program disusuli dengan kongres yang berlangsung secara terbuka di mana delegasi-delegasi yang hadir memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing untuk perjalanan dan aktiviti-aktiviti yang bakal menghasilkan kemajuan kepada PSGFM untuk 2 tahun akan datang. Kongres telah menghasilkan satu memorandum yang terdiri daripada 7 perkara berkenaan pengiktirafan Silat Malaysia akan dihantar kepada pihak kerajaan untuk mengiktiraf peranan PSGFM kepada bangsa Malaysia.

Majlis berhenti rehat dan disambung dengan Simposium Silat Melayu pada jam 2 petang. Di antara para pembentang yang membentangkan kertas kerja adalah Tuan Guru Dr Prof Mohamad Nizam Mohamed Shapie (Silat Tempur – Model Sukan Kanak-kanak), Ustaz Farhan Ahmad (Silat dan Nilai Murni), Tuan Guru Mohd Shahiid Elias (PSGFM dan Cabaran Masa Depan), Tuan Guru GM Aminuddin Anuar (Pesilat Hebat – Persediaan Latihan Menjadi Juara), PT Hazim (Silat dan Latihan Bebanan di Zaman Moden) dan Master Safwan Hassan (Belajar Silat di Awal Usia). Para peserta yang hadir telah mendapat banyak manfaat dan berpuas hati terhadap penganjuran yang berlangsung di Sandakan, Sabah ini.

Upacara berakhir pada sebelah petang dengan sesi pengambaran dan pemberian sijil penyertaan kepada semua peserta. Para peserta yang hadir menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan tandatangan dan berswafoto dengan para ikon PSGFM yang hadir ke Sandakan.

Program Kongres Seni Gayung Fatani Antarabangsa & Simposium Silat Melayu Kebangsaan kali pertama ini telah memberi impak yang besar kepada masyarakat Sabah. Penganjuran yang mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia ini bakal digunakan untuk mengatur gerakan dan pembangunan Silat Melayu di Sabah.

Tahniah PSGFM!

Written by PemegangAmanah