Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Alhamdullilah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia-Nya para peserta Silat European Tour 2014 telah berjaya menamatkan latihan fasa 1 yang berlangsung dengan jayanya di Intekma Resort & Convention Centre pada 19 – 21 September 2014.
Para peserta terpilih telah berpeluang berlatih dengan Pakar Persembahan Silat Malaysia iaitu Tuan Guru Utama, Guru Aminuddin Hj Anuar yang telah didatangkan khas oleh Tuan Guru Dr. Mohamad Nizam bin Mohamed Shapie bagi membentuk satu pasukan persembahan yang mantap semasa di Eropah kelak.
Walaupun kekok dengan pergerakan yang ditunjukkan oleh Guru Aminuddin, para peserta bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan amanah yang diberikan semasa sesi latihan. Para peserta telah diberikan segala tips dan pengetahuan asas untuk membuat persembahan semasa berada di Eropah.
Di antara peserta yang akan mengambil bahagian adalah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan Negeri Sembilan. Kelihatan Cikgu Safwan diamanahkan selaku kapten pasukan persembahan yang bakal berlangsung pada 16 Oktober di Rzeszow, Poland.
Pemilihan para peserta kini tinggal beberapa minggu lagi. Seramai 12 orang telah disenarai pendek daripada 50 pesilat yang berminat menyertai rombongan ini. Hanya 6 orang pesilat sahaja yang bakal ke Eropah pada 10-21 Oktober 2014 nanti.
Usaha yang bakal dilakukan ini adalah satu tanggungjawab yang berat kepada para peserta ini kerana baru pertama kali ditugaskan untuk melakukan persembahan di luar negara. Bersama-sama kita berdoa agar pasukan yang dibentuk ini dapat mengalas tugas selaku duta negara Malaysia tercinta dalam mengharumkan Silat Malaysia di persada antarabangsa. Malaysia BOLEH!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.